Khamis, 11 Februari 2016 | 11:49pm

United jangka untung RM1.18b tahun ini

MANCHESTER: Gergasi Liga Perdana Inggeris (EPL), Manchester United membuktikan kuasa komersial apabila menunjukkan peningkatan pendapatan teras sebanyak 26.6 peratus untuk suku terakhir tahun lalu.

Ia adalah petanda positif buat United walaupun mengharungi satu lagi kempen yang tidak konsisten selepas gagal melayakkan diri ke peringkat kalah mati Liga Juara-Juara musim ini.

United berkata, pihaknya menjangkakan kadar keuntungan sebelum cukai, faedah dan susut nilai daripada STG178 juta (RM1.12 bilion) kepada STG188 juta (RM1.18 bilion) untuk tahun ini, berbanding jangkaan awal hanya sebanyak STG165 juta (RM1.03 bilion) hingga STG175 juta (RM1.10 bilion).

United yang juga juara EPL sebanyak 20 kali dan kini menghuni tangga kelima liga, berkata keuntungan untuk tiga bulan terakhir sehingga 31 Disember lalu meningkat kepada STG133.8 juta (RM842 juta).

United yang dimiliki sepenuhnya oleh keluarga Glazers, kini ketinggalan enam mata berbanding pasukan tangga keempat Manchester City.

Walaupun melalui tempoh peralihan yang buruk sejak persaraan pengurus Alex Ferguson pada tahun 2013, keupayaan United untuk melonjakkan pendapatan luar padang terus meningkat. - Reuters

Berita Harian X