Khamis, 11 Februari 2016 | 10:02pm

Unit Kulim beli 4 syarikat Indonesia pada RM509.35j

KUALA LUMPUR: PT Wisesa Inspirasi Nusantara (PT WIN), unit Kulim (M) Bhd, memeterai perjanjian bagi cadangan pembelian empat syarikat Indonesia berharga RM509.35 juta dengan 95 peratus kepentingan ekuiti dalam setiap syarikat itu.

Empat syarikat berkenaan adalah PT Nusa Persada Indonesia, PT Surya Panen Subur, PT Tempirai Palm Resources dan PT Rambang Agro Jaya.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, Kulim berkata aset perladangan syarikat berkenaan terletak di Kalimantan Selatan, Sumatera Selatan serta Aceh.

"Pertimbangan jumlah sebanyak RM509.35 juta itu dicapai berdasarkan persetujuan bersama dan selepas mengambil kira nilai pasaran, pinjaman dan pendahuluan belum lunas pemegang saham, agregat pinjaman syarikat terbabit serta perbelanjaan tambahan pembangunan perladangan," katanya.

Kulim turut menyifatkan cadangan pembelian itu sebagai peluang unik bagi syarikat menerusi PT Win untuk memiliki firma perladangan sawit bersaiz sederhana.

"Cadangan pembelian itu juga sejajar dengan hasrat kami untuk mempertingkat simpanan tanah sedia ada serta mendapat akses pasaran lebih besar di Indonesia," katanya. - BERNAMA

Berita Harian X