Khamis, 11 Februari 2016 | 7:33pm

PATI licik diberkas selepas dua kali bolos


TIGA PATI warga Indonesia yang diberkas di Kampung Paya Suri, Semeling, awal pagi tadi. - Foto ihsan Jabatan Imigresen

SUNGAI PETANI: Tiga pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia yang dapat meloloskan diri dalam dua serbuan sebelum ini, akhirnya ditahan selepas rumah sewa mereka di Kampung Paya Suri, dekat Semeling, di sini, dikepung Jabatan Imigresen awal pagi tadi.

Ketiga-tiga PATI membabitkan dua lelaki dan seorang wanita ditahan melalui Op Ikrar yang dijalankan bermula jam 12 tengah malam tadi, yang menyasarkan tiga lokasi berasingan termasuk rumah sewa milik warga Indonesia terbabit.

Pengarah Imigresen negeri, Mohamad Yusri Hashim, berkata dalam operasi membabitkan 15 anggota itu, sembilan warga asing di tiga lokasi berasingan diperiksa sebelum tujuh daripada mereka membabitkan lima warga Indonesia dan dua warga Bangladesh berusia antara 21 hingga 47 tahun dikesan melakukan pelbagai kesalahan Imigresen.

"Dua daripada mereka ditahan dalam serbuan di Taman Bunga Raya, di sini, diikuti dua lagi di Taman Ria Jaya dan selebihnya di Kampung Paya Suri.

"Siasatan awal mendapati lima PATI ini tidak memiliki sebarang pas atau permit sah, manakala dua lagi masing-masing melakukan kesalahan dengan menetap lebih masa dalam negara selama empat bulan dan melindungi PATI yang melakukan kesalahan," katanya dalam satu kenyataan, di sini.

Terdahulu, Mohamad Yusri berkata dalam operasi berasingan kira-kira jam 3 petang semalam di premis perniagaan di Pokok Sena, dekat sini, dua lelaki dan dua wanita warga Myanmar berusia antara 28 hingga 51 tahun ditahan.

"Tiga daripada mereka didapati tidak memiliki pas atau permit sah dan seorang lagi kerana melanggar syarat pas diberikan.

"Semua PATI yang ditahan dalam operasi berkenaan disiasat di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63, selain Seksyen 56(1)(d) dan Seksyen 15(1)(c) akta sama, serta Peraturan 39(b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963.

"Mereka kemudian dibawa ke Depoh Tahanan Imigresen Belantik, Sik untuk siasatan lanjut," katanya.

Berita Harian X