Rabu, 10 Februari 2016 | 12:34pm

Remaja maut motosikal rempuh tiang elektrik

KEPALA BATAS: Seorang remaja lelaki maut selepas motosikal ditunggangnya terbabas dan melanggar tiang elektrik di Jalan Pokok Jenerih, di sini, malam tadi.

Dalam kejadian jam 10.50 malam itu, mangsa, Muhamad Faridzuan Muhamad Faizelie, 18, meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah pada bahagian badan dan kepala.

Jurucakap polis berkata, mangsa yang menunggang motosikal bersendirian dikatakan dalam perjalanan pulang ke rumahnya dari arah Bertam menghala ke Lunas.

Katanya, mangsa dipercayai gagal mengawal motosikal hingga menyebabkan dia terbabas dan melanggar tiang elektrik di tepi jalan.

"Kemalangan itu tidak membabitkan kenderaan lain dan siasatan di lokasi mendapati keadaan jalan di situ gelap.

"Akibat rempuhan itu, mangsa tercampak dari motosikalnya dan meninggal dunia di tempat kejadian," katanya.

Mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Kepala Batas (HKB), di sini untuk proses bedah siasat. Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Berita Harian X