Selasa, 9 Februari 2016 | 7:38pm

Mayat lelaki Myanmar ditemui dengan kesan kelar, lidah terjelir


MAYAT lelaki warga Myanmar yang ditemui di sebuah kilang memproses barang lusuh dimasukkan ke dalam trak polis. - Foto Sharul Hafiz.

ALOR SETAR: Mayat seorang lelaki warga Myanmar ditemui dalam keadaan lidahnya terjelir dengan kesan kelar di leher, di sebuah kilang memproses barang lusuh di Simpang Kuala di Kilometer 4 Jalan Putra, di sini, jam 2.45 petang tadi.

Mayat lelaki berkenaan ditemui majikannya dalam keadaan terlentang di pintu bilik tidur pekerja dengan lehernya terkulai dan tangan terkilas di belakang tanpa sebarang ikatan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri Kedah, Asisten Komisioner Mohd Nashir Ya, berkata lelaki berusia 28 tahun itu dikenali sebagai Lai Kot A'Ali dan siasatan awal mendapati mangsa dipercayai mati dalam tempoh lebih 12 jam hingga 24 jam.

"Kita turut menemui sebilah parang sepanjang kira-kira 30 sentimeter di paha mangsa.

"Kes masih dalam siasatan, namun buat masa ini, kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

27 dibaca
Berita Harian X