Selasa, 9 Februari 2016 | 12:06am
MARK Adam mula mengumpan peminat baharu yang terpikat dengan lawak jenakanya. - Foto Aziah Azmee

Mark Adam berlawak tiru P Ramlee


KECOH industri hiburan apabila penyanyi lagu Marry Me, Mark Adam mengejutkan peminat dengan bakatnya berlawak yang rakaman video aksi jenakanya menjadi viral.

Dengan gaya bersahaja dan mimik muka selamba, Mark atau nama Islamnya, Fikri Mark Adam, berasasal dari Filipina ini, mula mengumpan peminat baharu yang terpikat dengan humor jejaka berstatus suami orang ini.

Penyertaan Mark dalam program realiti terbitan Astro Warna, Juara Parodi, baru-baru ini mencuri perhatian ramai. Tampil bersama kumpulan Slumber, bakat komedi Mark cukup terserlah.

Tanpa perlu bekerja keras dan menjadi diri sendiri, Mark yang juga popular dengan lagu Pencuri, Si Katak dan Senyum Lagi mampu mencuit hati sesiapa yang menonton gelagatnya.

Dalam pertemuan bersama BH, Mark memberitahu, dia tidak teragak-agak menjadikan bidang lawak sebagai kerjaya selepas sisi humornya mula diperkatakan.

MARK mampu mencuit hati sesiapa yang menonton gelagatnya. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam

"Selepas menyertai Juara Parodi, saya ada terfikir menjadikan bidang lawak sebagai kerjaya seperti nyanyian, mungkin saya akan teruskan.

"Bagaimanapun, saya tak mahu terburu-buru. Saya kena tengok jalan yang ada ini. Lagipun, saya bermula sebagai penyanyi.

"Namun, jika ada pihak yang positif menerima kehadiran saya sebagai pelawak, insya-Allah perlahan-lahan saya akan 'kayuh' dalam bidang komedi pula," katanya.

Pada masa sama, Mark mengakui cintanya terhadap dunia nyanyian tidak akan padam.

Optimis dengan peluang yang terbentang di hadapan, Mark menyifatkan tidak salah bagi dirinya berkongsi bakat dengan orang lain.

PERSEMBAHAN Mark Adam pada pusingan separuh akhir Muzik-Muzik 30 di Plaza Alam Sentral. - Foto Nurul Syazana Rose Razman

Mark berkata dia cukup meminati filem lakonan pelawak antarabangsa seperti Ben Stiller, Adam Sandler dan Jim Carey.

"Mereka adalah antara bintang lawak idola saya. Saya memang suka cerita lawak.

"Malah selepas datang ke Malaysia, isteri saya selalu berkongsi dan menunjukkan bakat lakonan Allahyarham Tan Sri P Ramlee. Saya juga sudah mula menonton program realiti atau pertandingan lawak tempatan ," katanya.

Ditanya mengenai kehebatan Seniman Agung, Mark mengakui cukup mengagumi Allahyarham P Ramlee.

"Saya suka bakat seni yang dimilikinya. Bakatnya memang tiada tandingan. Kalau Allahyarham berdrama, beliau serlahkan sisi drama.

"Begitu juga apabila arwah berkongsi sisi lawak dan muzik. Beliau menjadi idola saya," katanya.

GELAGAT Mark Adam dan Zizan dalam Super Spontan All Star tahun lalu. - Foto Owee Ah Chun

Guru ketawa sampai menangis

Mark yang berhijrah mencari rezeki di Malaysia pada tahun 2000 dengan menyanyi di sebuah hotel di Sabah, mula menunjukkan bakat dalam bidang komedi sejak di bangku sekolah.

"Saya perhatikan dulu, kalau saya berlawak memang orang gelak. Tak kira, sama ada bercakap atau berlawak, saya sedar memiliki sedikit bakat.

"Ketika berada di sekolah menengah, ada seorang guru ketawa hingga menangis. Saya jadi tak keruan dan terkejut dengannya," katanya.

Mark berkata, disebabkan lebih cenderung menyanyi di pentas, ramai orang tidak perasan bakatnya berjenaka.

"Tapi selepas menyertai Juara Parodi, baru-baru ini, buat saya sedar, tak salah untuk terus berlawak. Saya suka buat orang ketawa. Ia sangat membahagiakan. Ketawa itu penawar duka," katanya.

AKSI yang serasi di antara Mark (kiri) dan Shuib Sepahtu menerusi kumpulan Slumber Blur di pentas akhir Juara Parodi. - Foto Saifullizan Tamadi

gn4id:11909571

Tambah Mark lagi, sebelum Juara Parodi, dia pernah menjadi tetamu jemputan untuk pertandingan lawak seperti Bintang Mencari Bintang di TV3 dan Superspontan di Astro, tahun lalu.

"Program itu boleh dianggap permulaan menyerlahkan sisi lawak saya. Tak sangka Astro pilih saya menyertai Juara Parodi. Ia pengalaman yang sangat berharga," katanya yang baru tampil dengan single Berat berkonsepkan balada ciptaan DJ Fuzz.

Pada Anugerah Meletop ERA 2016, Mark tercalon dalam kategori Artis Lawak Meletop bersaing dengan Johan, Jep Sepahtu, Jihan Muse dan Emma Maembong.

Berita Harian X