Isnin, 8 Februari 2016 | 8:37pm

20 rumah terbakar, dua cedera


PENEMPATAN sementara mangsa kebakaran di Taman Pelangi, Kuala Perlis, Perlis, terbakar petang tadi. Dua puluh rumah terbabit dan dua mangsa cedera. - Foto ihsan pembaca

KANGAR: Dua puluh rumah sederet, yang juga penempatan sementara mangsa kebakaran, di Taman Pelangi, Kuala Perlis, di sini, terbakar petang tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.10 petang itu, seorang lelaki berusia 33 tahun melecur di bahu dan lengan ketika cuba memadam api yang mula merebak di rumahnya, manakala seorang lelaki Sian melecur di kepala akibat dihempap kayu ketika menyelamatkan barang dalam rumah.

Jurucakap bomba dan penyelamat berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 5.18 petang dan tiba 19 minit kemudian dengan tujuh jentera bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kangar, BBP Simpang Empat, BBP Arau dan BBP Kuala Perlis.

Katanya, seorang pegawai dan 17 anggota dibantu 35 ahli bomba sukarela bertungkus-lumus memadamkan kebakaran itu.

"Api cepat merebak disebabkan rumah itu diperbuat daripada kayu dan api berjaya dikawal jam 6.15 petang," katanya.

Beliau berkata, kawasan itu adalah penempatan sementara mangsa kebakaran kawasan Kampung Puju, Kuala Perlis lebih 10 tahun lalu.

"Punca kebakaran dan nilai kerugian masih dalam siasatan," katanya.

Berita Harian X