Isnin, 8 Februari 2016 | 11:37am

Pelawak Atu Zero tamatkan zaman bujang

SAAT Atu diijabkabulkan di kediaman pengantin perempuan di Jalan Peserai Lama, Batu Pahat. - Foto Syarafiq Abd Samad

BATU PAHAT: Pelawak Atu dari kumpulan Zero menamatkan zaman bujangnya dengan memilih pereka fesyen, Shafeeqa Johari, 30, sebagai teman hidup. 

Dengan sekali lafaz, Atu, 24, atau nama sebenarnya, Sharid Kunal Doli Sharif, sah bergelar suami pada majlis akad nikah yang berlangsung jam 10 pagi di kediaman ibu bapa pengantin perempuan di Peserai, di sini.

Atu yang kelihatan tenang ketika upacara akad nikah dijalankan turut menyerahkan mas kahwin RM1,000 dan menyarungkan sebentuk cincin serta seutas gelang tangan kepada pengantin perempuan.

ATU memilih pereka fesyen, Shafeeqa Johari sebagai teman hidup.  - Foto Syarafiq Abd Samad

ATU mengenali isterinya sejak setahun lalu sebelum kumpulan Zero memenangi pertandingan Maharaja Lawak Mega 2015. - Foto Syarafiq Abd Samad

Beliau turut menyerahkan wang hantaran RM30,000 serta tujuh dulang hantaran kepada isterinya itu manakala pihak perempuan membalas dengan sembilan dulang hantaran.

Pelawak berkenaan sebelum ini mendedahkan beliau mengenali isterinya itu sejak setahun lalu sebelum kumpulan Zero memenangi pertandingan Maharaja Lawak Mega 2015.

Majlis persandingan kedua pengantin akan berlangsung di lokasi sama petang nanti manakala majlis bertandang di Sabah dijangka dibuat selepas rumah mereka yang sedang dibina disiapkan sepenuhnya.

Berita Harian X