Isnin, 8 Februari 2016 | 12:01am
PENSYARAH USIM, Mohd Nur Adzam Rasdi (kiri) Mahwyuddin (tengah) dan Norakyairee Mohd Raus menunjukkan cip Smart Iqra' Braille, produk inovasi yang diciptanya bersama UTM memenangi pingat emas. - Foto Hazreen Mohamad

Iqra' Braille bantu OKU baca al-Quran


PENGAJAR Smart Iqra' Braille, Mahwyuddin Hashim (kiri), Adnan Mohamed Yusoff dan Norakyairee Mohd Raus. - Foto Wan Nur Amirah

NILAI: Kesukaran orang kurang upaya (OKU) masalah penglihatan untuk membaca dan mendalami al-Quran, menjadi pencetus kepada Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) menghasilkan inovasi Smart Iqra' Braille.

Inovasi dibangunkan sekumpulan pensyarah Fakulti Pengajian al-Quran dan Sunnah itu disifatkan sebagai satu usaha terbaik bagi meminimumkan kesulitan pelajar OKU bermasalah penglihatan mempelajari asas bacaan al-Quran.

Pensyarah FKAS, Mahwyuddin Hashim, berkata Smart Iqra' Braille yang dihasilkan itu bersifat mesra pengguna dan berkesan kepada golongan sasar, sekali gus memudahkan penghayatan al-Quran.

"Inovasi ini mendedahkan asas bacaan al-Quran melalui Iqra' selain memberi kemudahan kepada pelajar untuk mempelajarinya secara sendirian atau menerusi kelas al-Quran secara beramai-ramai.

"Apa yang menarik, ia juga sesuai digunakan oleh guru al-Quran yang tidak mempunyai kemahiran braille kerana mudah dikendalikan," katanya.


PRODUK Smart Iqra' Braille berasaskan cip pintar. - Foto Hazreen Mohamad

Mahyuddin berkata, pengguna Smart Iqra' Braille juga boleh memilih ayat, juzuk dan jilid tertentu dengan hanya menekan kekunci pada panel, tanpa perlu menyelak helaian al-Quran braille.

Rakannya, Norakyairee Mohd Raus, pula berkata inovasi itu dibangunkan hasil temu bual dengan beberapa guru di dua sekolah pendidikan khas di Johor yang mengakui wujud kekangan dalam kalangan pelajar untuk mempelajari dan menghayati al-Quran berikutan tiada sumber atau teknologi al-Quran yang mesra OKU bagi membantu mereka mengenal huruf.

Katanya, kejayaan inovasi itu turut membuka era baharu terhadap keberkesanan pengajaran serta pembelajaran al-Quran dalam kalangan pelajar OKU bermasalah penglihatan.

Produk itu pernah meraih pelbagai kejayaan, antaranya Anugerah INPEX (Excellent Award Pittsburg Amerika Syarikat) dan pingat emas pada Pameran Reka Cipta Inovasi dan Teknologi Antarabangsa (ITEX) 2015.

30 dibaca
Berita Harian X