Ahad, 7 Februari 2016 | 2:26pm

Lelaki maut kereta dirempuh pacuan empat roda

DUNGUN: Seorang lelaki maut manakala ibu dan adiknya parah selepas kereta dinaiki mereka dirempuh kenderaan pacuan empat roda di Kilometer 67 Jalan Kuala Terengganu-Kuantan, dekat Kampung Batu Tiong, di sini, pagi ini.

Wan Mohd Khairuddin Wan Mohamed, 36, berasal dari Taman Sungai Jeluk, Kajang, Selangor, meninggal dunia di tempat kejadian dalam nahas jam 11 pagi itu.

Kejadian turut menyebabkan ibu, Salbiah Hussin, 65, dan adik perempuan mangsa, Saadiah Wan Mohamed, 20, cedera parah.

Dalam kejadian itu, kereta PERODUA Myvi dipandu Saadiah dikatakan keluar dari simpang sebelum dirempuh pacuan empat roda Toyota Hilux dari arah Kuala Terengganu.

Rempuhan itu menyebabkan pacuan empat roda berkenaan terbalik manakala Myvi dinaiki tiga beranak itu remuk.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Ahmad Zailani Yaacub, ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian.

Berita Harian X