Ahad, 7 Februari 2016 | 1:43pm

Pejabat CPOPC di Jakarta dijangka beroperasi Mac


TIMBALAN Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Razali Ibrahim. - Foto Syarafiq Abd Samad

MUAR: Pejabat pentadbiran Majlis Negara-Negara Pengeluar Minyak Sawit (CPOPC) yang berpangkalan di Jakarta, Indonesia, dijangka memulakan operasi Mac ini.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Razali Ibrahim, berkata keputusan itu dicapai hasil persetujuan antara kerajaan Malaysia dan Indonesia pada mesyuarat CPOPC di Jakarta Khamis lalu.

"Dua wakil dari Malaysia akan dilantik sebagai pengarah bahagian di CPOPC bagi mengetuai bahagian pekebun kecil dan bahagian pengurusan saham," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Razali berkata, dua wakil dari Indonesia pula akan mentadbir bahagian zon ekonomi hijau dan bahagian piawaian.

Beliau yang bertanggungjawab menjaga portfolio Felda itu juga berharap dengan wujudnya pejabat CPOPC nanti, lebih banyak negara pengeluar minyak sawit akan menyertai pakatan berkenaan dalam usaha menggalak, membangun dan mengukuhkan kerjasama dalam industri sawit.

Dalam mesyuarat itu juga, Malaysia dan Indonesia membincangkan isu desakan sesetengah pihak berkepentingan yang meminta kerajaan Perancis mengenakan cukai tidak munasabah terhadap produk berasaskan minyak kelapa sawit.

"Malaysia dan Indonesia akan membuat bantahan. Bagaimanapun, ia akan dibincangkan di peringkat kabinet kedua-dua negara terlebih dahulu," katanya.

Razali yakin kerajaan Perancis akan bertolak-ansur mengenai perkara berkenana.

Menurutnya, cadangan pihak berkepentingan itu dianggap tidak adil kerana cuba meletakkan kadar cukai yang tidak munasabah sehingga menghampiri harga minyak mentah kelapa sawit dan ini bakal memberikan kesan tidak baik kepada pendapatan negara dan juga pengusaha kelapa sawit.

Sebelum ini, laporan berita ada menyebut bahawa pada mesyuarat CPOPC 4 Februari lalu, Malaysia dan Indonesia menyatakan bantahan terhadap rancangan Perancis mengenakan cukai import secara berperingkat terhadap produk berasaskan minyak sawit sehingga 900 euro (RM4,100) setan bermula tahun depan.

Pada 21 Januari lalu, Parlimen Perancis meluluskan rang undang-undang untuk mengenakan cukai import minyak sawit yang akan dinaikkan secara berperingkat bermula 300 euro setan pada 2017, 500 euro pada 2018, 700 euro pada 2019 dan seterusnya sehingga 900 euro setan.

Dalam perkembangan lain, mengulas mengenai kesan pelaksanaan Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) terhadap industri kelapa sawit, Razali berkata, buat masa sekarang pihaknya tidak boleh menjangka kesan atau faedah yang bakal diperoleh daripada perjanjian berkenaan.

Dalam TPPA kita perlu cari kaedah agar perjanjian tersebut akan memberi faedah kepada industri sawit negara, terutama peneroka atau pengusaha kelapa sawit dan juga pendapatan negara," katanya.

Beliau berkata, peluang untuk Malaysia masih terbuka kerana kita masih mempunyai masa dua tahun sebelum TPPA dilaksanakan sepenuhnya.

"Dari sudut lain Malaysia mempunyai kelebihan dalam industri kelapa sawit memandangkan bahawa kita adalah satu-satunya negara dalam TPPA yang mempunyai hasil besar dalam industri ini," katanya.

Razali berkata, beliau yakin Malaysia mempunyai peluang bagi meraih faedah menerusi TPPA jika dapat melaksana beberapa perkara dalam masa dua tahun ini. - BERNAMA

Berita Harian X