Jumaat, 17 Oktober 2014 | 5:19pm
PENYEMBURAN kabus atau 'fogging' bagi membasmi nyamuk aedes dewasa di kawasan yang dikesan wabak. - Foto BERNAMA

Terengganu catat 1,171 kes demam sehingga 14 Oktober

SETIU: Sebanyak 1,171 kes demam denggi telah dilaporkan di seluruh Terengganu sehingga 14 Oktober lepas berbanding hanya 379 kes bagi tempoh yang sama pada tahun 2013, kata Pengarah Kesihatan Negeri, Datuk Dr Anwa Sulaiman.

Beliau berkata, ia adalah peningkatan sebanyak 209 peratus dengan Kuala Terengganu mencatatkan kes tertinggi sebanyak 767 kes, Dungun 88 kes, Besut 90 kes, Marang 87 kes, Kemaman 78 kes, Hulu Terengganu 46 kes dan Setiu 15 kes.

"Sehingga 11 Okt lalu, sebanyak 186,367 buah premis telah diperiksa untuk pembiakan aedes di seluruh negeri Terengganu dan daripada analisa, kita dapati rumah kediaman atau kedai dan tanah lot kosong adalah penyumbang utama tempat pembiakan Aedes di Terengganu iaitu sebanyak 1,278 (0.68 peratus) dari premis yang dikesan menjadi tempat pembiakan," katanya semasa perasmian Program Gotong Royong Ayuh Gempur Aedes di Kampung Mangkuk dekat Penarik di sini hari ini yang turut disertai kira-kira 300 penduduk kampung itu.

Teks ucapan beliau dibacakan Pegawai Kesihatan Daerah Setiu, Dr Rohayati Muda.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan masyarakat agar melibatkan diri dalam aktiviti gotong-royong bagi membersihkan persekitaran rumah masing-masing dari bekas-bekas berpotensi menjadi tempat pembiakan nyamuk aedes untuk membasmi wabak itu.

-BERNAMA

15 dibaca
Berita Harian X