Sabtu, 6 Februari 2016 | 8:48pm

5 penuntut UiTM sesat di Gunung Pulai

PELAJAR yang sesat di Gunung Pulai ditemui pasukan Bomba dan Penyelamat Baling serta penduduk kira-kira jam 6 petang tadi. - Foto Safuri Kamarudin

BALING: Lima pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Seri Iskandar Perak, mengalami detik cemas apabila sesat lebih empat jam ketika mendaki Gunung Pulai dekat sini, pada ketinggian 600 meter (m) pagi tadi.

Bagaimanapun, mereka bernasib baik apabila ditemui pasukan Bomba dan Penyelamat Baling serta penduduk kira-kira jam 6 petang tadi.

Lima pelajar terbabit ialah Shafie Yusof, Amir Muzakir Rusli, Mohd Zaim Afifi Shamsuddin, Mohd Farhan Ahmad dan Mohd Asraf Borhan, semuanya berusia 23 tahun.

Difahamkan, mereka mula mendaki gunung terbabit pada jam 6.30 pagi tanpa menggunakan khidmat penduduk kampung atau pihak berkuasa, sebaliknya hanya berpandukan kepada pengalaman seorang rakan yang pernah ke kawasan itu.

Bagaimanapun, Shafie berkata, ketika tiba pada ketinggian 600 meter pada kira-kira 11 pagi, mereka kepenatan dan membuat keputusan untuk turun.

"Dalam perjalanan turun sekitar jam 2 petang, kami hilang arah dan mula panik sebelum menghubungi talian 999 untuk bantuan.

"Syukurlah kami selamat. Ini adalah pengajaran supaya meminta bantuan penduduk kampung mendaki gunung jika tidak mahir dengan selok belok di kawasan itu," katanya ketika ditemui di sini, petang tadi.

Penolong Penguasa Bomba dan Penyelamat Baling, Mohd Sufian Alias, berkata pihaknya menerima panggilan kira-kira jam 2.40 petang sebelum bergerak ke lokasi bersama lima anggota bagi menjalankan operasi mencari dan menyelamat.

Berita Harian X