Sabtu, 6 Februari 2016 | 12:10am
AFGAN berkata sifat pemalu dalam diri saya terlalu menebal hingga buatkan saya rasa kekok untuk bergaul dengan orang ramai. - Foto Mohd Adam Arinin
AFGAN (kiri) bersama Pengerusi Eksekutif Airish Global Sdn Bhd, Datuk Mohd Aizuddin Mohd Ghazali menandatangani pada poster Makan Malam Cinta Tanpa Sempadan, sambil diperhatikan wakil Rossa (kanan sekali) pada majlis sidang media di Hotel Royale Chulan Kuala Lumpur. - Foto Nik Hariff Hassan
PERSEMBAHAN Datuk Rossa dan Afgan, AIM 2013. - Foto Afendi Mohamed

Afgan nafi letak bayaran melampau di Malaysia


PENYANYI dari seberang, Afgan atau nama sebenarnya Afgan Syah Reza, 27, sememangnya antara bintang yang bergemerlapan di arena seni suara ketika ini.

Bukan sekadar menjadi sebutan di tanah kelahirannya, Indonesia, malah populariti penyanyi bersuara lunak dengan wajah manis berlesung pipit ini turut menjadi kegilaan penggemar muzik di Malaysia, Singapura dan Brunei.

Dirinya boleh dianggap sebaris dengan bintang yang terlebih dulu mencipta nama di negara berkenaan seperti Krisdayanti, Datuk Rossa, Glenn Fredly dan Marcell.

Dek kemasyhuran yang menjadi miliknya juga, penyanyi terbabit kini kerap diundang menjayakan pelbagai persembahan di negara ini, termasuk mengadakan konsert.

Begitupun, apabila permintaan terhadap dirinya semakin meningkat di sebelah sini, kedengaran pula cerita kononnya Afgan sudah mula mengenakan bayaran yang tinggi terhadap penganjur apabila khidmat beliau di pentas persembahan diperlukan.

Peluang bertemu dengannya ketika penyanyi ini berkunjung ke ibu kota digunakan BH untuk bertanyakan perkara sebenar. Kata Afgan, jumlah bayaran setara yang dikenakan bersesuaian dengan kualiti nyanyian diberikan.

"Saya masih lagi orang yang sama seperti dulu dan tidak mengenakan bayaran terlalu tinggi untuk membuat persembahan. Apa yang pasti, jumlah yang dilaburkan berbaloi dengan persembahan yang saya berikan.


PENYANYI Indonesia, Afgan. - Foto Nurul Syazana Rose Razman

"Mana mungkin saya mengenakan harga yang terlalu tinggi sehingga menutup peluang untuk berkarya di sini. Saya menghargai sambutan dan sokongan yang diberikan oleh peminat di Malaysia," katanya.

Penyanyi berasal dari Jakarta itu turut mengambil peluang berkenaan untuk menjelaskan, beliau sebenarnya bukanlah seorang yang sombong.

Sebelum ini, banyak juga pihak yang memperkatakan hal terbabit berikutan sikapnya yang dikatakan agak kurang mesra dengan orang di sekeliling.

"Sifat pemalu dalam diri saya terlalu menebal hingga buatkan saya rasa kekok untuk bergaul dengan orang ramai.

"Dakwaan yang mengatakan saya seorang yang sombong dan berlagak diva itu tidak sepatutnya timbul. Jika saya kenal rapat dengan seseorang itu, pastinya sayalah orang yang paling banyak bercakap," katanya yang mengambil sikap tidak mudah melatah apabila timbulnya cerita sebegitu.

Sementara itu, penyanyi Dalam Mihrab Cinta ini turut menafikan cerita kononnya kekerapan beliau datang ke Malaysia menjadi punca peminatnya di Indonesia terasa hati.


DARI kiri, Penyanyi, Afgan, penganjur, Gadaffi Ismail Sabri dan Hazama Ahmad Azmi berucap pada sidang media Konsert 5 Divo di Bukit Kiara. - Foto Adi Safri

KONSERT Suara Hati Afgan yang diadakan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur. - Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din

Malah, ada yang mendakwa penyanyi lelaki itu melebihkan peminat di Malaysia berbanding penyokong dirinya di negara sendiri. Maklumlah jika dihitung, sudah hampir tiga kali penyanyi berkaca mata ini singgah ke Malaysia menyempurnakan konsert solonya.

"Saya masih lagi menetap di Indonesia dan fokus utama terletak di negara kelahiran saya. Pada masa sama, sukar untuk saya menolak undangan mengadakan persembahan di Malaysia kerana sokongan peminat di sini agak berbeza, berbanding mereka di Indonesia.

"Mungkin kerana saya berasal dari negara luar, ia membuatkan peminat lebih teruja dengan kedatangan saya ke sini. Perasaan terharu memang menyelubungi diri mengenangkan penghargaan yang diberikan oleh peminat di sini," katanya yang akan terbabit sama dalam Konsert 5 Divo di Stadium Malawati Shah Alam pada 13 Februari ini.

Turut menjayakan konsert itu ialah Judika, Taufik Batisah, Hafiz Suip dan Hazama.

Dalam pada itu, beliau turut berkongsi berita dirinya bakal tampil dengan lagu duet bersama idolanya, Datuk Sheila Majid, hasil ciptaannya sendiri.

Akui jejaka ini, beliau sudah meminati penyanyi Sinaran itu sejak zaman kanak-kanaknya lagi. Justeru, peluang untuk bekerjasama dengan penghibur yang juga isteri kepada penggubah muzik, Acis, itu sudah semestinya sesuatu yang dibanggakan olehnya.

"Sukar untuk saya ungkapkan perasaan bangga dan teruja apabila dapat berduet bersama Datuk Sheila.

"Alhamdulillah, beliau menyukai lagu ciptaan saya dan kami merancang untuk merakamkannya dalam masa terdekat," kata Afgan yang hanya mengambil masa selama setengah jam untuk menghasilkan karya berkenaan.

Berita Harian X