Jumaat, 5 Februari 2016 | 9:18pm

Puluhan ribu rakyat Syria lari selamatkan diri - Turki


PERDANA Menteri Turki, Ahmet Davutoglu. - Foto Reuters

DAMSYIK: Puluhan ribu rakyat Syria meninggalkan kediaman mereka apabila tentera meningkatkan operasi dengan bantuan serangan udara Russia di sekitar Aleppo, ketika Moscow dan Ankara saling bertikam lidah berhubung krisis itu.

Perdana Menteri Turki, Ahmet Davutoglu, pada sidang media di London di mana negara penderma menjanjikan bantuan lebih AS$10 bilion (RM42 bilion) bagi membantu rakyat Syria, berkata kira-kira 70,000 penduduk Syria menuju ke Turki bagi menyelamatkan diri daripada pertempuran itu.

Davutoglu dan aktivis berkata, 300,000 penduduk terkandas di Aleppo selepas tentera kerajaan memusnahkan laluan bekalan utama pemisah dari Turki dengan dibantu pesawat perang Russia.

"Keadaan di utara Aleppo amat teruk. Penduduk awam terkepung dari tiga sudut dan cuma ada satu jalan ke wilayah Turki," kata aktivis dan wartawan dari kampung Marea, Maamoun al-Khateeb.

Beliau berkata, tentera rejim mengancam dari selatan, IS dari timur manakala pemisah Kurdis dari barat.

Ketika serangan diteruskan, ketegangan diplomatik juga meningkat dengan Moscow menuduh Ankara yang menyokong pemisah bersiap sedia untuk menceroboh Syria, mendakwa ia ternampak tentera dan peralatan perang di sempadan. - AFP

Berita Harian X