Jumaat, 5 Februari 2016 | 12:47pm

Azza alami keguguran kali keempat


NOR Azzarima Zawari atau lebih dikenali dengan Azza Elite. - Foto Instagram

KUALA LUMPUR: Nor Azzarima Zawari atau lebih dikenali dengan Azza Elite, 38, akur dengan ketentuan Ilahi apabila mengalami keguguran buat kali keempat, baru-baru ini, selepas disahkan hamil enam minggu.

Berbanding situasi sama dihadapi sebelum ini, Azza begitupun mengaku dirinya kini lebih kuat menerima kenyataan beliau belum mempunyai rezeki untuk menimang cahaya mata dengan suami tercinta, Azlan Zulaily. Pasangan ini berkahwin pada 2012.

"Saya anggap semua ini ujian yang akan terus menguatkan diri. Belum rezeki saya untuk menjadi ibu. Suami juga sangat kuat berdepan apa yang dilalui ini. Insya-Allah kami akan terus mencuba," katanya ketika ditemui pada majlis sambutan hari lahir penerbit, Fadzil Teh, di sini, malam tadi.

Azza turut memberitahu, keletihan antara punca dirinya mengalami musibah itu.

"Kebetulan pada 31 Januari lalu saya ada tugas mengacara di Putrajaya. Tidak elok pula rasanya jika hendak ditolak tawaran itu kerana saya sudah mengesahkannya sejak awal.

Bagaimanapun saya percaya, ia memang bukan rezeki saya lagi. Malahan, sebelum itu pun ada berlaku pendarahan juga seperti fasa mengandung sebelum ini.


AZZA bersama teman artis lain meraikan hari lahir penerbit Fadzil Teh di ibu kota, malam tadi.

"Memang saya tidak boleh bekerja teruk. Jika diikutkan kata doktor, mahu saja saya berehat saja di rumah. Bagaimanapun, saya ingatkan diri ini masih kuat, jadi saya buat kerja harian macam biasa. Maklumlah, kerjaya sebagai artis memerlukan saya melakukan pelbagai perkara untuk meneruskan kehidupan.

"Namun begitu, dengan apa yang terjadi ini, saya tidak boleh salahkan sesiapa," katanya yang mahu kembali aktif berlakon pada tahun ini.

Mengakui emosinya sedikit terganggu dengan apa yang berlaku, Azza bagaimanapun enggan larut dalam perasaannya itu.

"Selama ini pun saya tidak berkecil hati kalau ada yang bertanya, bila saya nak mengandung? Saya anggap semua itu sebagai doa. Jadi, dengan penjelasan mengenai keguguran saya ini, diharap orang di luar sana akan terus berdoa yang baik-baik untuk saya dan suami.

"Jika ada rezeki, saya hendak ke Makkah bersama suami supaya dapat meminta doa bagi menimbang zuriat di sana.

Selain itu, kawan seperti Rozita Che Wan dan Ifa Raziah juga banyak berkongsi petua untuk saya terus hamil pada usia yang kian meningkat," katanya.

63 dibaca
Berita Harian X