Khamis, 4 Februari 2016 | 3:35pm

Noh bangga sertai konsert 20 tahun SO7


PENYANYI, Noh Salleh. - Foto Munira Abdul Ghani

KUALA LUMPUR: Penyanyi, Noh Salleh, menganggap pemilihannya sebagai artis jemputan pada konsert Sheila On 7 (SO7) sempena 20 tahun pembabitan mereka dalam dunia seni sebagai penghargaan besar buat dirinya.

Kumpulan rock alternatif terkenal dari Jogjakarta, Indonesia berkenaan bakal tampil menghiburkan peminat mereka dalam konsert Live in Malaysia 2016 di StarXpo Hall, KWC Fashion Mall, di sini pada 27 Mac depan.

SO7 pernah mencetus fenomena di persada muzik dengan deretan lagu popular seperti Dan, Sephia, Seberapa Pantas serta Melompat Lebih Tinggi.

Kata Noh, yang juga vokalis Hujan, beliau sudah pastinya berbangga apabila dipilih menjayakan persembahan pembukaan kumpulan yang cukup diminatinya.

"Saya sebenarnya pernah memasang impian untuk mengadakan persembahan bersama mereka. Jadi, undangan ini umpama impian yang menjadi nyata.

"Memang saya juga antara peminat SO7 sejak kemunculan mereka dengan album pertama lagi. Saya memang tidak sangka, impian untuk berkongsi pentas dengan kumpulan ini datang lebih cepat daripada apa yang saya sangkakan," katanya kepada BH Online ketika ditemui pada sidang media mengumumkan konsert berkenaan, di sini, hari ini.

Kali terakhir kumpulan yang pernah menerima Anugerah Khas Bintang Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) 2001 ini mengadakan persembahan di Malaysia adalah pada 2013.

Berita Harian X