Khamis, 4 Februari 2016 | 3:15pm
DATUK Siti Nurhaliza bersama ahli kelab Sitizone di Primaland Port Dickson. - Foto ihsan Safuan Photo Vocal
DATUK Siti Nurhaliza bergambar bersama ahli kelab Sitizone di Primaland Port Dickson. - foto ihsan Instagram Siti Nurhaliza
DATUK Siti Nurhaliza bersama peminat pada malam gala hari kedua di Primaland Port Dickson. - Foto ihsan Instagram Rozi Sang Dewi

Sitizone rai ulang tahun ke-12


PENYANYI No 1 Negara, Datuk Siti Nurhaliza. - Foto Munira Abdul Ghani

KUALA LUMPUR: Diam tak diam, sudah 12 tahun kelab peminat Penyanyi No 1 Negara, Datuk Siti Nurhaliza iaitu Sitizone ditubuhkan.

Meraikan detik itu, Sitizone bersama Siti menganjurkan perjumpaan di Primaland Port Dickson, selama tiga hari mulai 29 Januari lalu.

Dihadiri lebih 200 ahli, termasuk yang datang dari Indonesia, Brunei dan Singapura, aktiviti yang bertujuan merapatkan hubungan peminat dengan Siti dijayakan dengan tema 'Survivor' pilihan penyanyi kesayangan ramai itu.

Tahun lalu, Sitizone menyambut ulang tahun penubuhan kelab dengan tema 'Kembali ke Sekolah'.

"Tiga hari yang indah buat saya dan peminat tersayang untuk dikenang. Ruang bersama peminat ini pastinya menjadi saat bermakna buat saya.

"Biar dilihat klise, siapalah saya tanpa peminat. Saya tidak boleh menidakkan, selama berjuang di arena seni, peminatlah yang menjadi nadi untuk saya terus kuat dan maju," kata Siti.

Sepanjang tiga hari program berlangsung, malam gala pada hari kedua paling mencuri tumpuan.

Berkonsepkan bunga, segmen karaoke dan slot Peminat Unggul menggamatkan suasana.

Melalui slot Peminat Unggul, Siti mencari seorang peminat yang mampu menjawab semua soalan mengenai dirinya dengan tepat.

Selain itu, Siti diberi kejutan oleh pengurusan hotel yang menghadiahkan kek ulang tahun kelahirannya yang ke-37 pada 11 Januari lalu.

Pelawak Azlee Senario yang kebetulan menginap di hotel sama, menyamar sebagai chef dan membawa kek terbabit ke dalam dewan.

Siti turut menghiburkan peminat dengan menyampaikan rangkaian lagu serta mengundang abangnya, Ayie dan kakaknya, Saida untuk menyanyi bersama.

Duet lagu Senja Nan Merah nyanyian ketiga-tiga beradik itu mencuri tumpuan ramai. Siti juga sempat mengajak ibunya, Siti Salmah Bachik dan ibu saudaranya menyanyi bersama.

"Kebiasaannya, kalau adik-beradik berkumpul, kami menyanyi bersama. Memang sudah lama tak berkumpul seperti ini. Istimewanya, kami bergabung sesama adik-beradik di hadapan peminat dan kakitangan Siti Nurhaliza Productions (SNP)," kata Siti.

11 dibaca
Berita Harian X