Khamis, 4 Februari 2016 | 8:42am
ASAP menyelubungi udara di kawasan bandar Yemen. - Foto EPA

Ketua polis cedera serangan bom di Aden

ADEN: Seorang ketua polis wilayah di selatan Yaman menjadi antara mereka yang cedera apabila pengebom bunuh diri menyerang konvoinya di bandar pelabuhan Aden pada lewat semalam, kata pegawai keselamatan.

Pegawai berkata, Kolonel Adel al-Halemi cedera dan beberapa orang maut atau cedera apabila penyerang meletupkan kenderaannya dekat kediaman Ketua Polis Lahj di sini.

Namun, maklumat lanjut berkaitan jumlah kematian tidak diperolehi.

Serangan itu dikatakan susulan siri pembunuhan dan serangan bom terhadap sasaran kerajaan di selatan Yaman dikuasai tentera yang setia, dengan kumpulan IS mengaku melakukan kebanyakan serangan berkenaan.

Angkatan pro kerajaan disokong pakatan diketuai Arab Saudi sejak Julai lalu berjaya merampas semula Aden, Lahj dan tiga lagi wilayah di selatan dari pemberontak Syiah Huthi yang menguasai sebahagian besar Yaman termasuk Sanaa.

Sementara itu, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berkata, lebih 5,800 orang dibunuh sejak pakatan melancarkan serangan udara dan darat terhadap pemberontak pada Mac. - AFP

Berita Harian X