Rabu, 3 Februari 2016 | 7:26pm

Penduduk bantah pembinaan kondominium sebelah masjid


AHLI Dewan Undangan Negeri Kelantan Cawangan Salor, Datuk Husam Musa (tengah) ditemubual oleh pihak media pada sidang media mengenai bantahan pembinaan kondo di perkarangan Masjid Telipot. - Foto Faris Zainuldin

KOTA BHARU: Lebih 100 penduduk di kejiranan Jalan Raja Dewa, Telipot di sini, membantah cadangan pembinaan kondominium 24 tingkat di tapak sebuah tadika bersebelahan Masjid Sultan Muhammad II atau dikenali sebagai Masjid Telipot, di sini.

Mereka menyifatkan projek komersial itu tidak menguntungkan komuniti setempat dan kawasan tapak projek itu sepatutnya digunakan untuk membesarkan masjid terbabit.

Difahamkan, tanah seluas 0.68 hektar itu asalnya milik kerajaan negeri sebelum diserah kepada Yayasan Islam Kelantan (YIK) dan dikatakan diambil alih oleh Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK).

Pada tahun 2013, kerajaan negeri menerusi YIK mengarahkan Tadika Tengku Anis yang terletak di tanah terbabit dikosongkan untuk pembinaan kondominium oleh sebuah syarikat pemaju.

Timbalan Pengerusi Persatuan Penduduk Jalan Raja Dewa, Mohd Yasmin Yusoff, berkata mereka membuat bantahan sejak tahun 2014 sebaik menerima khabar angin tanah bersebelahan masjid itu akan dibangunkan dengan projek kondominium.

"Kami menghantar surat pertama kepada kerajaan negeri pada 17 September 2014 meminta tanah itu diberi kepada pihak masjid, namun tiada tindakan.

"Surat kedua menyusul pada Jun 2015 tetapi masih tiada jawapan sebelum kami sebulat suara menyerahkan surat kepada Sultan Kelantan," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Mohd Yasmin berkata, kerajaan negeri bersetuju mengadakan pertemuan pada Oktober tahun lalu namun dibatalkan pada saat akhir.

Beliau berkata, penduduk bersedia membayar nilai tanah terbabit yang difahamkan mencecah RM8 juta dan akan mengutip sumbangan termasuk dari pihak Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK).

Turut hadir dalam bantahan itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Salor, Datuk Husam Musa, yang meminta kerajaan negeri menerima cadangan penduduk untuk menyerahkan tanah itu kepada pengurusan masjid.

13 dibaca
Berita Harian X