Rabu, 3 Februari 2016 | 7:09pm

Ayda bukan punca percintaan Aiman, Fathia putus


FATHIA Latiff, Aiman Hakim Redza dan Ayda Jebat. - Foto Fariz Iswadi Ismail

PUTRAJAYA: Pelakon, Fathia Latiff, menegaskan gosip hubungan intim antara bekas kekasihnya, Aiman Hakim Redza dengan Ayda Jebat bukan punca percintaannya dengan aktor itu terlerai pada Disember tahun lalu.

Malah bintang berusia 28 tahun itu enggan memanjangkan isu terbabit kerana bimbang ia menimbulkan fitnah kepada kedua-dua insan yang dikenalinya, apatah lagi Aiman baginya adalah seorang lelaki yang baik.

Bagi Fathia, percintaan yang terlerai selepas empat tahun mengenali hati budi bukan berpunca daripada kehadiran pihak ketiga, sebaliknya dianggap sebagai tiada jodoh antara mereka.

"Kalau boleh saya tidak mahu mengulas perkara ini. Ia perkara yang sudah berlalu, lagi pun takut jatuh fitnah sebab kita tidak tahu. Dulu pun saya pernah melalui gosip sebegini, mungkin cerita itu menjadi gosip hingga orang luar mempercayainya.

"Sepanjang kami berkawan, Aiman cukup baik dan seorang lelaki budiman. Saya juga kenal dengan Ayda dan dia juga kawan seperjuangan yang baik. Cerita itu cuma khabar angin saja.

"Lagi pun jika sudah ditakdirkan setakat itu saja hubungan kami, saya tidak boleh buat apa-apa. Saya sendiri reda kerana percaya setiap insan ada jodoh masing-masing," katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran wangian Avon, di sini hari ini.

Mengakui kasih yang terlerai tidak memutuskan persahabatannya dengan Aiman, mereka masih berhubung jika ada perkara penting atau sesekali keluar makan bersama teman-teman lain.

"Biar apa yang berlaku, dia tetap sahabat saya. Kami masih boleh berkongsi cerita atau bertukar pandangan terutama berkaitan kerja. Hidup perlu diteruskan," katanya yang enggan mengulas sama ada hubungan itu bakal bertaut kembali.

Mengakui pengalaman semakin mematangkan diri, si jelita yang baharu pulang dari New York kerana terbabit dalam penggambaran drama arahan Erma Fatima ini berkata, tahun 2016 adalah detik untuknya bekerja lebih kuat selain belajar dunia penerbitan belakang tabir.

82 dibaca
Berita Harian X