Rabu, 3 Februari 2016 | 4:55pm

Krim ekstrak ikan haruan rawat luka - USM


KETUA Penyelidik, Dr Amin Malik (kiri) bersama pelajarnya Saad Sabbar Dahham (kanan) menunjukkan produk MU-DERM: Krim Sapuan Angiogenic Penyembuh Luka Ekstrak Dari Ikan Haruan. - Foto Mikail Ong

GEORGETOWN: Kumpulan penyelidik Pusat Pengajian Sains Farmasi, Universiti Sains Malaysia (USM) mencipta krim sapuan ekstrak ikan haruan yang mampu menyembuhkan luka lebih pantas.

Ketua Penyelidiknya, Dr Amin Malik Shah Abdul Majid, berkata krim terbabit dihasilkan secara semula jadi dari ekstrak mukus ikan haruan bagi kesan penyembuhan hampir 50 peratus lebih pantas berbanding produk sedia ada.

"Formulasi MU-DERM: Krim Sapuan Angiogenic Penyembuh Luka Ekstrak Dari Ikan Haruan ini turut menggunakan minyak kelapa dara dan lilin lebah sebagai bahan utama penyembuh luka.

"Krim ini sesuai digunakan terutama bayi dan individu yang memiliki kulit sensitif kerana tidak mengandungi bahan pengawet, pewarna atau pewangi.

"Ia juga bersifat antibakteria dan antikulat, selain sesuai digunakan ke atas sebarang jenis luka terbuka pada kulit," katanya pada sidang media di USM di sini, hari ini.

Beliau berkata, pihaknya menerima geran penyelidikan RM100,000 yang digunakan sepenuhnya bagi membangunkan produk berkenaan sejak tahun lalu.

"Kami akan bekerjasama dengan pihak industri yang berminat mengkomersialkan ciptaan ini.

"Anggaran harga pasaran adalah antara RM14 hingga RM15 bagi tiub 50 gram dan dijangka berada di pasaran dalam tempoh enam bulan," katanya.

Beliau berkata, ciptaan terbabit turut memenangi pingat emas dalam Persidangan dan Ekspo Ciptaan Institusi Pengajian Tinggi Antarabangsa 2015 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada 4 sehingga 6 Disember tahun lalu.

Berita Harian X