Rabu, 3 Februari 2016 | 4:39pm

Polis nafi kanak-kanak dilarikan dalam Waja


SEORANG kanak-kanak perempuan berusia empat tahun dalam sebuah kereta yang dikatakan dilarikan dari hadapan sebuah sekolah di Jalan Gambut, Kuantan, jam 7.45 pagi tadi.

KUANTAN: Polis menafikan dakwaan sebuah Proton Waja dilarikan bersama seorang kanak-kanak perempuan berusia empat tahun di dalamnya di hadapan sebuah sekolah di Jalan Gambut, di sini, jam 7.45 pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Abdul Aziz Salleh, berkata kenderaan berkenaan hanya dialihkan oleh orang awam ke kawasan berhampiran selepas didapati menghalang lalu-lintas.

"Ketika kejadian, pemandu kereta iaitu seorang lelaki berusia 29 tahun menghantar anak saudaranya yang berusia tujuh tahun ke bangunan sekolah kerana hujan lebat.

"Dia meninggalkan kereta itu di hadapan pagar sekolah berserta seorang lagi anak saudara berusia empat tahun.

"Selepas keluar dari kawasan sekolah, lelaki itu panik apabila mendapati keretanya tiada di tempat ditinggalkan lalu bergegas ke Balai Polis Kuantan untuk membuat laporan," katanya di sini, hari ini.

Anggota polis kemudian mendapati keretanya dialihkan oleh orang awam ke kawasan berhampiran.

Berita Harian X