Rabu, 3 Februari 2016 | 3:54pm

Wenger 'diserang' penyudah Arsenal tumpul

LONDON: Arsene Wenger menepis kritikan betapa dia perlu menandatangani penyerang bertaraf dunia pada jendela perpindahan Januari lalu meskipun mengakui skuad kendaliannya berdepan masalah penyudah tumpul.


PENYERANG Arsenal, Alexis Sanchez (dua dari kanan) cuba mengawal bola dari pemain Southampton pada aksi perlawanan Liga Perdana Inggeris, awal pagi tadi. - Foto EPA

Pengurus Arsenal itu berdepan malam mengecewakan di Stadium Emirates apabila kelab yang terkenal dengan jolokan The Gunners itu mencipta banyak peluang ketika seri 0-0 dengan Southampton awal pagi tadi, tetapi sering kali dinafikan penjaga gol pelawat, Fraser Forster.

Isu itu sering diperkatakan, dalam memburu gelaran Liga Perdana sejak 2004, betapa kelab utara London itu perlulah melabur dalam penyerang yang terbukti bagus.

"Jika anda jumpa penyerang bertaraf dunia, yang boleh menguatkan pasukan, anda sepatutnya beritahu saya," kata Wenger mengenai pasukannya itu yang kini di kedudukan keempat, lima mata di belakang pendahulu Leicester.

"Percayalah saya, mereka tidak berjalan di tepi jalan dan berkata: 'Sayalah penyerang bertaraf dunia'.

"Mereka sudah berada di kelab besar dan di bawah kontrak serta tidak boleh dimiliki. Kami ada Walcott, Giroud, Ozil, Sanchez dan Welbeck, yang akan kembali.

"Hari ini, saya tidak rasa ada pemain yang ajaib akan muncul dan menjaringkan gol buat kami. Sebagai satu pasukan, kami boleh menjaringkan gol.

"Kami semua kecewa kerana kami mempunyai banyak peluang untuk memenanginya. Perkara yang paling mengecewakan adalah beberapa pemain terlepas peluang seperti selalunya.

"Penyudah kami sangat teruk pada masa ini. Kami beraksi dalam tiga perlawanan Liga Perdana tanpa menyumbat gol." - AFP

Berita Harian X