Rabu, 3 Februari 2016 | 1:09pm

Hospital Sungai Buloh terima 4 lagi mesin hemodialisis


KETUA Eksekutif PERKESO, Datuk Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed (tengah) bersama Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Jeyaindran Sinnadurai (kanan) dan Pengarah Hospital Sungai Buloh, Datuk Dr Khalid Ibrahim (kiri) melihat mesin Hemodialisis ketika majlis penyerahan mesin Hemodialisis oleh PERKESO kepada Unit Dialisis Hospital Sungai Buloh. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali

SUNGAI BULOH: Hospital Sungai Buloh (HSB) terima empat mesin hemodialisis baharu bernilai RM160,000 hari ini, susulan arahan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang mahu kemudan itu ditambah di hospital terbabit.

Mesin hemodialisis itu disumbangkan oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dengan kerjasama Kementerian Kesihatan.

Berikutan itu, HSB kini memiliki 37 mesin hemodialisis yang boleh digunakan bagi merawat hingga 87 pesakit pada satu masa, berbanding 65 pesakit ketika ini.

Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Perubatan) KKM, Datuk Dr S Jeyaindran, berkata pihaknya bekerjasama dengan PERKESO kerana satu pertiga pesakit yang menjalani dialisis di hospital awam dibiayai pertubuhan itu.

"Tahun lalu, KKM memberi 12 mesin hemodialisis kepada HSB, namun ia belum mencukupi. Perdana Menteri menyedari masalah itu dalam lawatannya dan mengarahkan pertambahan mesin baharu dilakukan dalam masa terdekat.

"Kita harap lebih banyak agensi atau syarikat berkaitan kerajaan (GLC) tampil menyumbang mesin hemodialisis kepada hospital kerajaan bagi meringankan beban memberi perkhidmatan kos sederhana kepada rakyat," katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan Mesin Hemodialisis Kepada Unit Hemodialisis HSB, di sini.

Turut hadir Pengarah HSB, Datuk Dr Khalid Ibrahim dan Ketua Pegawai Eksekutif PERKESO, Datuk Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed.

Najib mengarahkan penambahan mesin rawatan untuk pesakit buah pinggang ketika membuat lawatan dan tinjauan ke Unit Hemodialisis HSB pada 22 Januari lalu.

27 dibaca
Berita Harian X