Rabu, 3 Februari 2016 | 12:19am
BEKAS vokalis Exists, Mohd Rohaizad Mohd Lazim. - Foto Nur Syafiqah Salsabila Mohd Zaki

Jadi pelawak bukan kerana tamak: Ezad Lazim


MELIHAT kepada kredibiliti Ezad Lazim, tidak dinafikan bakat nyanyian lelaki ini cukup menyerlah dan kemampuannya juga dikagumi ramai.

Ditambah dengan kejayaannya meraih tempat ketiga dalam program Gegar Vaganza musim kedua, hujung tahun lalu, sudah pasti semua itu mampu membuahkan rezeki berlipat ganda buatnya, termasuk pelbagai undangan mengadakan pertunjukan pentas.

Justeru, apabila Ezad menyertai program Maharaja Lawak Mega (MLM) 2016, ramai peminat yang terkejut dan tidak kurang juga tertanya-tanya, adakah keputusan yang dibuatnya itu tepat?

Malah, ada pihak yang mempertikaikan tindakannya itu sambil menyifatkan beliau sebagai bersikap tamak dan terdesak.


EZAD meraih tempat ketiga dalam program Gegar Vaganza musim kedua. - Foto Nik Hariff Hassan

Bagi pengkritik, Ezad sudah mempunyai nama yang kukuh dalam bidang nyanyian, jadi mengapa perlu menyertai program terbabit, yang kebanyakannya dikuasai oleh golongan pelawak. Tindakannya itu juga dilihat seakan-akan beliau cuba untuk merendahkan reputasi sendiri.

Bertemu bekas vokalis kumpulan Exists ini, baru-baru ini, soalan sama turut diajukan kepadanya.

Menurut pemilik nama penuh Mohd Rohaizad Mohd Lazim ini, tujuannya menyertai MLM bukanlah kerana terdesak disebabkan tiada undangan mengadakan persembahan ataupun tamak seperti yang diperkatakan, tetapi beliau sekadar mahu memperkembangkan bakat yang ada dalam dirinya.

"Tentu ramai yang sedia maklum, sebelum ini saya pernah berlakon dalam filem komedi seperti Anak Mami Jarum. Dalam filem itu, saya memegang watak seorang yang kelakar. Selain itu, saya juga pernah terbabit dalam teater dan drama bergenre komedi. Jadi, perkara itu bukanlah sesuatu yang baharu buat saya.


EZAD menyertai MLM sekadar mahu mengembangkan bakatnya. - Foto Mohd Asri Saifuddin Mamat

"Barangkali juga, tidak ramai yang tahu saya pernah mencuba nasib dalam MLM sebelum ini bersama kumpulan Token, namun kami hanya mampu beraksi setakat peringkat 'hot seat'.

"Lalu, apabila Abu dan Ajo daripada kumpulan Mamu mengajak saya menyertai MLM atas nama Bos, saya memberikan persetujuan. Tak sangka pula percubaan kali ini membuahkan kejayaan sehingga tersenarai sebagai peserta," terang penyanyi berusia 37 tahun ini ketika ditemui pada majlis pengumuman senarai Top 5 Anugerah Meletop Era 2016 di Petaling Jaya.

Pada anugerah berkenaan, Ezad yang turut dicalonkan dalam kategori Penyanyi Meletop bersaing dengan empat vokalis lain iaitu Datuk Siti Nurhaliza, Ayda Jebat, Hazama dan Syamel AF.

Tambahnya, untuk meneruskan kelangsungan dalam bidang seni, beliau tidak akan menolak apa saja yang mampu untuk dijadikan sumber rezeki.


EZAD (kiri) berduet dengan Siti Nordiana menyampaikan lagu 'Memori Berkasih' pada Konsert Mega Gegar Vaganza 2016. - Foto Nik Hariff Hassan

Diusik dengan pertanyaan nakal apakah keputusannya menyertai MLM sebagai membalas budi Astro, yang juga penyiar rancangan Gegar Vaganza, Ezad mengakui perkara itu.

"Selain minat dan mahu memperkembangkan bakat, saya akui penyertaan dalam MLM juga kerana mahu membalas jasa pihak Astro yang selama ini banyak memberi peluang pada saya untuk berkarya," katanya.

Sementara itu, ketika beraksi pada Konsert Mega Gegar Vaganza, di Istana Budaya, baru-baru ini, berlaku kejutan apabila Ezad turut berpadu suara dengan Mamat menerusi lagu Langkah Seiringan.

Kemunculan mereka mendapat tepukan dan sorakan penonton, yang nyata begitu teruja melihat dua pemilik vokal hebat bergabung.


KEJUTAN pada Konsert Mega Gegar Vaganza apabila Ezad berpadu suara dengan Mamat menerusi lagu Langkah Seiringan. - Foto Nik Hariff Hassan

Seperkara yang pasti, ramai yang seakan-akan tidak puas dengan persembahan berkenaan sambil mengharapkan, ada projek khas daripada mana-mana pihak untuk menggabungkan mereka berdua dalam pertunjukan mahupun lagu.

Mengulas perkara itu, Ezad berkata besar kemungkinan hajat untuk menyaksikan dirinya dan Mamat bergandingan akan dapat dilihat dalam konsert mereka yang pernah tertangguh sebelum ini.

"Insya-Allah, jika tiada aral, peminat akan dapat melihat kolaborasi kami menerusi konsert tertangguh Exists yang sepatutnya diadakan di Istana Budaya penghujung Oktober lalu. Pihak penganjur ada memberi bayangan, konsert itu akan diadakan sekitar Ogos depan.

"Mengenai rakaman lagu secara bersama-sama, setakat ini belum ada perancangan untuk berbuat demikian. Bagaimanapun, kalau ada yang berminat untuk menggandingkan kami berdua, saya tiada masalah.

"Cuma, perkara ini memerlukan perbincangan teliti kerana ia membabitkan kontrak dengan syarikat rakaman," ujarnya.

Berita Harian X