Rabu, 3 Februari 2016 | 12:14am
SIPUT tuntul boleh ditemui di kawasan air payau, sungai, laut dan paya bakau sekitar Membakut - Foto Nazllie Zainul
JUSLI Bungso mengutip tuntul di pantai Binsulok. - Foto Nazllie Zainul
Tuntul yang siap dimasak dan menjadi kegemaran penduduk. - Foto Nazllie Zainul
TUNTUL boleh dimasak dengan pelbagai cara - Foto Nazllie Zainul
TUNTUL boleh dimasak dengan pelbagai cara termasuklah masak lemak cili api, masak kicap, kari dan sos tiram. - Foto Nazllie Zainul
TUNTUL sedap dimakan bersama nasi putih atau dimakan begitu sahaja selepas direbus. - Foto Nazllie Zainul
TUNTUL makanan pilihan penduduk di daerah Membakut, Beaufort dan Kuala Penyu. - Foto Nazllie Zainul

Keenakan menyedut siput tuntul


MEMBAKUT: Panjangnya boleh mencecah sehingga 12 sentimeter dan memiliki hujung cengkerang sangat tajam, di samping permukaan licin berwarna hitam pekat.

Itu antara ciri-ciri siput tuntul atau di Semenanjung dikenali sebagai siput sedut, yang hidup di kawasan air payau, selain boleh ditemui di sungai, laut dan paya bakau khususnya sekitar daerah Membakut, Beaufort dan Kuala Penyu di Sabah.

Walaupun memiliki bentuk berbeza dengan siput sedut atau siput belitung di Semenanjung, keenakan rasa serta cara menyedutnya sama saja, cuma bahagian depan cengkerang tuntul perlu dipotong dengan parang hingga tinggal kurang separuh kerana jika tidak, sedut sekuat mana pun isinya tidak akan keluar.

Biarpun tidak dikategorikan sebagai sumber makanan mewah di Sabah memandangkan makanan laut lain seperti ketam dan udang mudah diperoleh dengan harga murah, siput tuntul tetap mempunyai peminatnya sendiri.

SIPUT tuntul yang dikenali siput sedut di Semenanjung. - Foto Mohd Nazllie Zainul

SIPUT tuntul juga digemari di Sabah seperti makanan laut yang lain. - Foto Nazllie Zainul

Tuntul tidak bermusim, namun biasanya hidupan laut itu muncul banyak antara Disember hingga Mac berikutan angin kuat serta ombak besar menyebabkan ia mudah ditemui terdampar di tepi pantai.

Kehadiran tuntul dengan jumlah yang banyak sekali gus memberi rezeki lumayan buat penduduk dengan lokasi yang sering menjadi tumpuan si pencari tuntul di daerah ini, ialah di pantai Kuala Binsulok, Pimping dan Palu-Palu.

Pencari dan peniaga tuntul, Musli Labei, 43, berkata siput berkenaan adalah antara sumber rezekinya sejak lebih lima tahun lalu.

"Saya mengutip tuntul menggunakan alat dibuat sendiri dari jaring dan diikat pada kayu supaya tuntul mudah tersangkut dan disauk dalam air cetek. Selepas itu, saya letak di dalam besen dan membawanya ke Pasar Nelayan Kuala Binsulok untuk dibersihkan.

Musli bersama hasil tangkapannya untuk dijual. - Foto Nazllie Zainul

MUSLI membersihkan tuntul untuk menghilangkan pasir sebelum dijual. - Foto Nazllie Zainul

"Proses pembersihan penting untuk menghilangkan pasir yang ada pada tuntul sebelum dijual kepada pelanggan," katanya yang menjual siput terbabit pada harga RM3 dalam bekas botol air mineral besar atau RM7 sekilogram, namun pelanggan boleh mendapatkannya dengan lebih murah jika membeli dalam kuantiti banyak.

Musli berkata, selain penduduk berhampiran Kuala Binsulok, tuntul sentiasa menjadi pilihan pelancong dari Brunei Labuan yang melalui Kuala Penyu untuk ke Kota Kinabalu.

"Kesegaran dan saiz tuntul yang berbeza berbanding tempat lain juga antara faktor pelanggan memilih membeli tuntul di Pasar Nelayan Kuala Binsulok.

"Tambahan pula, pelanggan boleh mendapatkan bekalan ikan, sayur dan buah-buahan segar setiap hari dengan harga berpatutan tanpa perlu ke pekan Kuala Penyu," katanya.

JUSLI Bungso menunjukkan hasil tangkapan tuntulnya. - Foto Nazllie Zainul

JUSLI Bungso mengutip tuntul di pantai Binsulok. - Foto Nazllie Zainul

Pencari tuntul dari Kampung Madang di sini, Jusli Bungso, 57, berkata dia dan keluarga kerap ke pantai Binsulok setiap hujung minggu untuk mengutip makanan laut berkenaan.

"Pantai Binsulok menjadi tempat kegemaran saya dan keluarga mencari tuntul kerana siput berkenaan di pantai ini biasa tidak bermusim dan saiznya lebih besar.

"Sejak dari dulu tuntul adalah makanan kegemaran sekeluarga membuatkan kami tidak jemu datang ke pantai ini mengutipnya. Bagaimanapun, kami hanya mengutipnya untuk tujuan hidangan keluarga dan bukan dijual," katanya.

Jusli berkata, biasanya beliau ke pantai seawal jam 6 pagi kerana tuntul lebih mudah dikutip ketika air surut sebab boleh dilihat di pesisir pantai, selain lebih selesa cuaca tidak panas.

TUNTUL di pantai Binsulok. - Foto Nazllie Zainul

"Setiap kali turun ke laut, saya mampu memperoleh sehingga 10 kilogram tuntul dalam tempoh dua hingga tiga jam. Jika hasil terlalu banyak, saya beri sebahagian kepada jiran.

"Tuntul boleh dimasak dengan pelbagai cara termasuklah masak lemak cili api, masak kicap, kari dan sos tiram.

"Ia sedap dimakan bersama nasi putih atau dimakan begitu sahaja selepas direbus namun sebelum memasaknya kita mesti buang bahagian hujung supaya mudah mengeluarkan isinya," katanya.

INFO - Tuntul

  • Dikenali sebagai siput sedut dan belitung di Semenanjung
  • Tuntul memiliki cengkerang panjang dan permukaan licin berwarna hitam
  • Banyak didapati dikawasan pantai di Membakut dan Kuala Penyu
  • Dijual pada harga RM7 sekilogram
  • Biasanya dimasak lemak cili api, masak kicap dan kari dan sos tiram

Berita Harian X