Rabu, 3 Februari 2016 | 12:02am

Lebih jiwai erti kasih sayang selepas nyaris maut


PENDAKWAH bebas, Mohd Elyas Ismail.

DARIPADA Anas bin Malik, Rasulullah SAW bersabda: "Barang siapa ingin dilapangkan baginya rezeki dan dipanjangkan untuknya umurnya hendaklah ia menghubungkan silaturahim." (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Benarlah yang dijanjikan mengenai rezeki dan dipanjangkan umur bagi mereka yang menjalinkan silaturahim. Hanya memberi nasihat kepada jemaah yang bertanya mengenai silaturahim, menyelamatkan nyawa pendakwah bebas, Mohd Elyas Ismail daripada melayang akibat kemalangan jalan raya.

Mohd Elyas berkata, ketika itu beliau baru habis memberikan ceramah sebelum ditahan seorang jemaah yang mahu menceritakan masalahnya yang baru bercerai.

Disebabkan kesuntukan masa kerana perlu menghadiri majlis lain, beliau hanya memberi sedikit sahaja nasihat kepada jemaah itu.

"Saya katakan kepada jemaah yang mengadu itu saya hanya ada tiga minit sahaja. Selepas memberikan sedikit nasihat saya bergegas pergi. Di pertengahan jalan, sebuah lori muatan berat dari arah bertentangan hilang kawalan akibat tayar pecah memasuki lorong saya dan melanggar kereta di depan.

"Kereta itu terus terjunam masuk ke gaung, manakala lori hampir masuk gaung. Saya terkejut kerana hanya beberapa meter sahaja jarak saya dengan kereta di depan. Sampai di rumah saya terus sujud syukur dan menghubungi ibu (Khadijah Muhamad, 64 tahun).

"Saya sangat bersyukur kerana terlepas daripada maut. Selama ini saya mengajar mengenai menghubungkan silaturahim tetapi dengan kejadian itu, Allah memberi didikan secara langsung di luar kelas. Sejak itu, saya lebih menjiwai erti kasih sayang sesama umat," katanya ketika ditemui di Balai Berita, baru-baru ini.

Mendapat pendidikan awal di Maktab Mahmud Alor Star, Kedah, Mohd Elyas melanjutkan pengajian di Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) dalam bidang al-Quran dan Sunnah, sebelum meneruskan pengajian bidang Usuluddin (Tafsir) di Universiti alAzhar.

Sekembalinya ke tanah air pada tahun 2008, beliau ditawarkan jawatan sebagai fasilitator dan penceramah bagi program asnaf zakat Selangor selain menjadi jurulatih Program Pembangunan Insan Selangor.

Tiga tahun lalu, beliau menceburi dunia perniagaan dengan membuka syarikat motivasi, High Step Consultant.

Sikap bapa sumber inspirasi

Mengimbas zaman kanak-kanaknya, pendakwah berasal dari Sungai Petani, Kedah, itu mengakui Allahyarham bapanya, Ismail Abd Rahman, sangat tegas dalam memberi didikan agama dan sifat bapanya itu menjadi inspirasi kepada beliau untuk menjadi pendakwah yang lebih berkesan.

"Walaupun bapa bertugas sebagai polis, beliau akan memastikan kami adik beradik solat berjemaah terutama Maghrib dan Isyak di masjid.

"Jika arwah bertugas, setiap kali masuk waktu solat, beliau akan menghubungi ibu untuk memastikan kami menunaikan solat," kata anak bongsu daripada empat beradik itu.

Antara kenangan zaman kanak-kanak yang masih terpahat ialah apabila beberapa kali dimarahi termasuk digertak dengan penyangkut baju oleh bapanya kerana masih menonton program kegemaran, Ultraman dan bermain di luar rumah, sedangkan ketika itu sudah hampir masuk waktu Maghrib.

Bagaimanapun, selepas dimarahi, ayahnya akan belanja makan roti canai dan air batu campur (ABC) sebaik selesai solat Isyak berjemaah di masjid.

Lazimnya, ketika menunggang motosikal bersama, arwah bapanya akan memujuk dan memberi nasihat selain merasionalkan tindakannya itu.

Bapanya juga sering menggunakan kesempatan meluangkan masa bersama keluarga seperti membawa mereka keluar berkelah untuk memberikan nasihat.

Mohd Elyas berkata, minat mendalam di bidang dakwah menemukan beliau dengan pelbagai lapisan masyarakat termasuk Orang Asli serta remaja bermasalah. Baginya, apa juga situasi akan dihadapi demi menyebarkan ajaran Islam yang suci.

Sangat mencabar

"Saya pernah dijemput untuk memberikan ceramah kepada sekumpulan remaja bermasalah di negara jiran. Memang sangat mencabar sehinggakan saya rasa putus asa selepas peserta tidak langsung mendengar ceramah, malah berbual sesama sendiri, menyampuk, mengutuk slaid dipasang dan bersikap kurang ajar.

"Namun, ketika sesi soal jawab selepas ceramah, ada peserta menghantar nota bertanyakan rakaat dalam solat sunat Dhuha. Ini mengembalikan semangat saya dan menyedarkan supaya tidak bersangka buruk. Ada dalam kalangan mereka yang sudah berhijrah walaupun penampilan nampak tidak berubah," katanya.

Katanya, beberapa bulan selepas itu beliau kembali ke negara berkenaan untuk tujuan berdakwah dan daripada apa yang dilihat, beliau membuat kesimpulan bahawa anak bukannya secara tiba-tiba menjadi jahat sebaliknya ia disebabkan pemikiran ibu bapa mereka.

Kebanyakan ibu bapa yang ditemui beranggapan anak mereka tidak boleh berubah. Jika dari awal mereka sudah tiada keyakinan, bagaimana anak mereka ingin berubah. Oleh itu, beliau cuba menjernihkan cara ibu bapa berfikir dengan memberi keyakinan anak boleh berubah jika ibu bapa yakin anak akan berubah.

Pendekatan dakwah berbeza

Berdakwah kepada kalangan Orang Asli di Pahang, lain pula ceritanya dan beliau menggunakan pendekatan dakwah yang berbeza.

"Masyarakat Orang Asli gemarkan hiburan. Rakan yang bersama menjalankan dakwah di perkampungan itu meminta saya membawa kompang. Saya tukar mesej dalam ceramah kepada nasyid, untuk mereka lebih mudah faham," katanya.

Amat menggemari durian, Mohd Elyas turut berkongsi kenangan mencuit hati apabila selepas menikmati durian beliau sendawa bau durian yang kuat sehingga jemaah berhampiran terpaksa menutup hidung. Akibatnya, selepas ceramah beliau disindir jemaah kerana tidak mempelawa mereka bersama makan durian.

"Sebelum ceramah, penganjur mempelawa makan durian. Saya memang peminat durian. Ketika ceramah, saya terpaksa menahan sendawa yang kuat dan nampak jemaah berhampiran tutup hidung dengan tangan," katanya yang mula berdakwah menerusi media dalam program Bismillah diikuti Tanyalah Ustaz, Halaqah, Positif dan al Kuliyyah.

Mendirikan rumah tangga dengan pilihan hatinya, Nurul Amani Muhammad Tain, 28, pasangan itu dikurniakan seorang cahaya mata berusia setahun.

35 dibaca
Berita Harian X