Selasa, 2 Februari 2016 | 9:58pm

Tangani cabaran beri kesan kepada industri minyak sawit - Uggah


MENTERI Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Amar Douglas Uggah Embas.

KUCHING: Senario ekonomi global yang diunjurkan kurang memberangsangkan pada 2016 mewujudkan beberapa cabaran dalam industri kelapa sawit termasuk permintaan untuk minyak sawit di negara pengimport utama, kata Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Amar Douglas Uggah Embas.

Sehubungan itu, katanya, terdapat keperluan untuk menangani cabaran ini, terutama dalam menangani keseluruhan permintaan global yang rendah dan kesannya ke atas paras stok domestik.

"Walaupun tidak dapat dinafikan minyak sawit adalah komponen penting dalam rantaian bekalan makanan, pertumbuhan ekonomi yang perlahan di negara pengimport utama dan pengeluaran minyak sayuran yang lebih tinggi mungkin memerlukan kajian semula strategi pemasaran semasa untuk memastikan akses pasaran yang berterusan bagi minyak sawit Malaysia," katanya.

Uggah berkata demikian semasa berucap pada 'Reach and Remind, Friends of the Industry Seminar 2016' di sini, hari ini.

Beliau berkata, peluang baharu untuk minyak sawit perlu diteroka dan antara bidang yang memerlukan sinergi ialah pembangunan biofuel berasaskan sawit yang menjimatkan kos.

"

Biofuel berasaskan sawit adalah mesra alam dan adalah sumber bentuk tenaga yang mapan, melengkapi usaha oleh negara maju utama untuk mengurangkan pelepasan karbon yang dibuat pada persidangan mengenai perubahan iklim di Paris baru-baru ini," katanya.

Industri minyak sawit adalah sumber penting kepada pendapatan eksport dan menjana pekerjaan dengan kesan pengganda ekonomi yang ketara.

Pada 2015, Uggah berkata, Malaysia menyumbang 31.7 peratus daripada pengeluaran minyak sawit global dan 36.4 peratus daripada eksport global.

"Pada tahun lalu, minyak sawit menyumbang RM60.11 bilion kepada pendapatan eksport, merosot sebanyak 5.5 peratus berbanding 2014, disebabkan purata harga MSM minyak sawit mentah yang rendah," katanya.

Beliau berkata, bagi memenuhi tuntutan kelestarian terhadap minyak sawit, standard Minyak Sawit Lestari Malaysia (MSPO) dilancarkan pada Januari 2014 sebagai standard kebangsaan untuk SPO yang diperakui Malaysia.

Uggah berkata, kementerian mewujudkan skim Majlis Pensijilan Minyak Sawit Malaysia (MPOCC) dalam kalangan negara pengimport terutamanya di Eropah dan Amerika Syarikat yang sentiasa meminta SPO yang diperakui.

Beliau turut menggesa rakan industri utama dan pekebun kecil untuk bekerjasama bagi menggalakkan lagi penerimaan MSPO sebagai lambang minyak sawit diperakui.

Pada peringkat antarabangsa, Malaysia dan Indonesia menandatangani piagam penubuhan Majlis Negara-Negara Pengeluar Minyak Sawit (CPOPC) pada November 2015 sebagai negara pengasas.

Keanggotaan CPOPC, katanya akan diperluaskan kepada negara tanaman kelapa sawit yang lain, dan CPOPC akan menyediakan platform untuk bekerjasama dalam kalangan negara pengeluar minyak sawit ke arah mewujudkan peluang pasaran yang lebih besar.

- BERNAMA

Berita Harian X