Selasa, 2 Februari 2016 | 5:11pm

Ambil tindakan pemimpin fitnah MIC - Devamany


TIMBALAN Presiden MIC, Datuk Seri S K Devamany. - Foto L Manimaran

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak diminta mengambil tindakan tegas terhadap beberapa pemimpin parti komponen dan mesra Barisan Nasional (BN) yang mengeluarkan kenyataan berbaur fitnah terhadap MIC.

Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri S K Devamany, berkata beliau akan menyuarakan masalah itu kepada Perdana Menteri dalam masa terdekat bagi mengelak imej parti terus tercemar.

"Perbuatan mereka memburukkan MIC dalam pesta Ponggal di Brickfields semalam kerana sokongan terhadap parti dipimpin mereka semakin pudar.

"Janganlah hanya untuk kepentingan sendiri, mereka sanggup menggadaikan maruah kaum India," katanya pada sidang media di ibu pejabat MIC di sini, sebentar tadi.

Semalam, semua pimpinan parti majoriti etnik India mesra BN yang hadir di pesta Ponggal sebulat suara menolak Datuk Seri Dr S Subramaniam sebagai Presiden MIC.

Sebaliknya, mereka mendesak agar Datuk Seri G Palanivel diberikan jawatannya semula sebagai presiden parti utama India itu.

Presiden myPPP, Tan Sri M Kayveas, dilaporkan secara terbuka menyatakan menolak kepemimpinan Subramaniam.

Presiden Makkal Sakthi, Datuk R S Thanenthiran, dilapor berkata, beliau bimbang BN berdepan masalah kehilangan pengundi yang banyak jika 1,800 ketua cawangan MIC yang menyokong Palanivel disisihkan.

Presiden Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian India Malaysia (MAICCI), Tan Sri Kenneth Eswaran, pula mendakwa Subramaniam mengelirukan Najib dengan maklumat tidak tepat mengenai keadaan parti dan komuniti India.

Berita Harian X