Selasa, 2 Februari 2016 | 5:10pm

Haiza tak sambung kontrak di Best FM


PENYANYI, Haiza. - Foto Nik Hariff Hassan

KUALA LUMPUR: Muncul salah seorang peserta pilihan ketika bersaing dalam Gegar Vaganza (GV) musim kedua, penyanyi Haiza mula mengatur langkah mengukuhkan namanya dalam industri muzik selepas program realiti itu berakhir, Disember lalu.

Tindakan pertama, Haiza membuat keputusan tidak menyambung kontrak sebagai penyampai di stesen radio Best FM yang beroperasi di Johor Bahru, Johor.

Haiza memberitahu BH Online, selepas menimbang banyak perkara, tempoh setahun bersama stesen radio itu dirasakan cukup memadai.

"Selepas berfikir masak-masak termasuk rutin di mana saya perlu bergerak dari Johor Bahru ke Kuala Lumpur (KL), saya memilih tidak meneruskan komitmen sebagai penyampai di Best FM.

"Badan saya jadi kurang bermaya kerana perlu bergerak jauh. Suamipun menetap di KL. Cuma anak kami, Nur Iman Syafie tinggal di Johor Bahru bersama saya.

"Lagipun, saya selalu diundang membuat persembahan majlis yang diadakan di KL," katanya yang mengendalikan segmen pagi setiap Isnin hingga Jumaat ketika bersama stesen radio Best FM.

Berkongsi perkembangan terbaharu, Haiza atau nama sebenarnya, Rohaizah Nordin berkata, dia bakal memasuki studio merakamkan single berjudul Tentang Cinta selepas cuti Tahun Baru Cina, minggu depan.

Bercerita lanjut mengenai single itu, Haiza berkata, lagu itu dicipta Asfan Shah dan berentak balada rock.

"Alhamdulillah, selepas menyertai GV, saya tak nafikan impak terhadap kerjaya seni terlalu besar.

"Dalam ada yang tidak berpuas hati dengan mutu persembahan saya di pentas final, ada juga yang memberi kata semangat. Ucapan tahniah tak pernah putus diterima daripada peminat termasuk mereka yang tak pernah saya kenali," katanya.

Haiza menyifatkan single Tentang Cinta sebagai buah tangan kepada peminat yang banyak memberi sokongan.

"Rentak balada rock juga dipilih bagi memenuhi kehendak peminat yang berpendapat saya mampu menyanyi dalam genre itu.

"Sebenarnya, saya juga minat lagu rock. Cuma, dulu, demi meneruskan kelangsungan dan minat menyanyi, irama dangdut yang nampak lebih dominan... Iyalah, rentak lagu cari makan," katanya yang popular dengan lagu Dag Dig Dut.

Kejutan hari jadi

Mengenai kerjasamanya dengan Asfan, Haiza memberitahu, dia sudah lama mengenali komposer berbakat itu.

"Tanpa diduga, dua minggu selepas berakhirnya GV, Asfan mendekati saya dan menawarkan single ini. Ia umpama rezeki terpijak.

"Selain Asfan, saya juga menunggu lagu ciptaan Damian Mikhail berjudul Amboi," katanya sambil menambah karya itu dijangka menyelitkan sedikit irama dangdut.

Pada akhir bicara, Haiza memberitahu, dia sedang merangka persembahan khas dikenali sebagai Colours Of Haiza.

"Persembahan ini dijangka diadakan di KL, April depan. Saya masih mencari penaja dan melunaskan beberapa perkara sebelum menganjurkannya.

"Saya juga terbabit dalam beberapa persembahan sempena Minggu Setiausaha, April depan selepas beberapa teman membuat tawaran ," katanya.

Haiza sempat berkongsi cerita 'dikejutkan' suami, Norhanapfe Omar dan ahli keluarga, awal pagi ini bagi meraikan hari jadinya yang ke-36.

Kejutan itu diberi ketika Haiza sedang dalam perjalanan pulang ke kampung halamannya di Benut, Pontian.

"Ketika hampir tiba, saya pelik sebuah lagi kereta yang dinaiki ahli keluarga tidak kelihatan di belakang. Sampai saja di rumah, saya dan suami menunggu keluarga lain tiba.

"Tanpa diduga, keluarga merancang sesuatu dengan membelikan kek hari lahir untuk saya. Ibu, adik dan sanak-saudara sama-sama menyertai kejutan ini pada kira-kira jam 2 pagi," katanya yang berharap beroleh kesihatan baik dalam usia yang makin meningkat.

Ends

12 dibaca
Berita Harian X