Khamis, 16 Oktober 2014 | 9:18pm

Pengerusi TH ziarah setiap keluarga jemaah yang meninggal dunia


ABDUL Azeez (dua dari kiri) menyampaikan air zam-zam kepada keluarga Allahyarham Aishah Mohamad, ketika berkunjung ke rumahnya di Parit Raja, Batu Pahat, hari ini. - Foto Mustapha Ismail

BATU PAHAT: Pengerusi Lembaga Tabung Haji (TH) Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim akan menziarahi setiap keluarga jemaah negara yang meninggal dunia di Tanah Suci Makkah ketika menunaikan haji.

Menurut Abdul Azeez ia merupakan tanggungjawab beliau serta pengurusan tertinggi TH untuk menyampaikan maklumat tentang kematian jemaah kepada keluarga mereka, selain menyampaikan bantuan khairat kematian serta sumbangan lain termasuk air zam-zam.

"Ia adalah suatu tanggungjawab pengurusan tertinggi untuk menyampaikan maklumat tentang kematian kepada waris dan keluarga jemaah, selain maklumat lain seperti penghantaran sijil kematian dan pelbagai barangan lain milik jemaah," katanya kepada pemberita di Kampung Parit Jambol, Parit Raja hari ini.

Sebelum itu beliau menziarahi keluarga Allahyarham Aishah Mohamad, 54, yang meninggal dunia pada 9.30 malam (waktu Arab Saudi) dua hari lepas akibat serangan jantung yang berpunca daripada penyakit asma yang dihidapinya.

Abdul Azeez berkata, jenazah Allahyarham Aishah telah disembahyangkan di Masjidil Haram, sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Syara'ek, Makkah.

Allahyarham merupakan kerani di Sekolah Kebangsaan Talang Bunut, Parit Raja berangkat ke tanah suci bersama-sama suaminya, Wan Ngah Wan A. Rahman pada 24 Sept lepas dan sepatutnya pulang ke tanah air pada 5 Nov depan.

Menurut abang Allahyarham, Abdul Rahman Mohamad, 60, adiknya ada menghubunginya dua hari selepas tiba di Makkah, memaklumkan tentang keadaan dirinya yang sihat.

Selepas menziarahi keluarga Allahyarham Aishah, destinasi kedua Abdul Azeez ialah di Batu 5, Desa Jaya, Kampung Haji Ghaffar, Yong Peng untuk bertemu waris Allahyarham Ismail Abu Bakar, 87, yang meninggal dunia di Tanah Suci pada 1 Okt lepas.

Allahyarham yang sepatutnya pulang ke tanah air pada 25 Okt ini meninggal dunia akibat jangkitan kuman dan kegagalan multiorgan, telah disembahyangkan di Masjidil Haram sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Syara'ek, Makkah.

Beliau turut menyampaikan sumbangan khairat kematian TH dan sumbangan lain kepada keluarga Allahyarham. - BERNAMA

67 dibaca
Berita Harian X