Selasa, 2 Februari 2016 | 11:47am

Lelaki maut, motosikal langgar bas

BALIK PULAU: Seorang lelaki maut selepas motosikal yang ditunggangnya hilang kawalan sebelum bertembung dengan sebuah bas di Jalan Batu Feringghi-Teluk Bahang di sini, tengah malam tadi.

Dalam kejadian itu jam 12.50 malam, S Sreenathan, 21, dari Kepala Gajah Simpang Ampat, dikatakan menunggang motosikal sendirian dari arah Batu Feringghi menghala ke arah Teluk Bahang di sini.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan Lai Fah Hin, berkata mangsa dikatakan gagal mengawal motosikalnya sebelum terbabas dan bertembung dengan sebuah bas di laluan bertentangan.

"Mangsa yang cedera parah dibawa ke Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk rawatan, sebelum disahkan meninggal dunia pada jam 2.20 pagi tadi, " katanya.

Beliau berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Trafik Daerah Barat Daya di talian 04-8662222 atau mana-mana balai polis berhampiran," katanya.

Berita Harian X