Isnin, 1 Februari 2016 | 5:00pm

Lelaki lemas di Sungai Habu


ANGGOTA Bomba dan Penyelamat mengangkat mayat mangsa lemas, S Suresh, 22, selepas dipercayai terjatuh di Sungai Habu, di sini. - Foto Ihsan PDRM

CAMERON HIGHLANDS: Seorang lelaki berusia 22 tahun yang hilang selepas terjatuh ke dalam Sungai Habu di sini, semalam, ditemui lemas pagi tadi.

Mayat S Suresh ditemui jam 10.25 pagi oleh pasukan mencari dan menyelamat selepas operasi mencari yang dihentikan jam 9.30 malam tadi, disambung semula pagi ini.

Dalam kejadian jam 5.30 petang semalam, Suresh yang bekerja di tapak projek Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) di Tanah Rata, tergelincir ke dalam sungai ketika melihat lokasi untuk memancing bersama tujuh rakannya.

Ketua Polis Daerah Cameron Highlands, Deputi Superintendan Muhammad Rizal Kamaruddin, mengesahkan penemuan mayat Suresh.

Mayat mangsa dibawa ke Hospital Sultanah Hajah Kalsom di sini untuk bedah siasat.

Berita Harian X