Isnin, 1 Februari 2016 | 12:13pm

30 PATI dipenjara guna kad pengenalan palsu


SEBANYAK 30 orang warganegara Filipina dan Indonesia masing-masing dihukum penjara tiga bulan oleh Mahkamah Majistret di sini pagi tadi selepas mengaku bersalah menggunakan kad pengenalan palsu di Mahkamah Kuantan. - Foto Farizul Hafiz Awang

KUANTAN: Seramai 28 warga Filipina berbangsa Sulu dan dua warga Indonesia dihukum penjara antara tiga hingga lima bulan oleh tiga Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas kesalahan menggunakan kad pengenalan palsu.

Kesemua mereka terdiri daripada 27 lelaki dan tiga wanita, berumur antara 18 hingga 55 tahun, diarah menjalani hukuman berkenaan bermula daripada tarikh mereka ditangkap iaitu pada 21 Januari lalu.

Tertuduh mengaku bersalah menggunakan kad pengenalan palsu pada jam 1.10 pagi, 21 Januari lalu di sekitar Kampung Balok dan Sungai Karang di sini selepas ditangkap dalam operasi bersepadu antara Jabatan Imigresen dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Pendakwaan dilakukan mengikut Peraturan 25(1)(e) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 (Pindaan 2007) yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi tiga tahun atau denda maksimum RM20,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Di Mahkamah Majistret satu, Majistret Rini Triany Mohamad Ali menjatuhkan hukuman itu ke atas 14 tertuduh manakala tiga lagi tertuduh dijatuhkan hukuman itu oleh Majistret Tuan Ruzuaini Tuan Lah di Mahkamah Majistret Khas Trafik di sini.

Di Mahkamah Majistret dua, Majistret Noor Aisah Mohamed menasihatkan 13 tertuduh untuk tidak mengulangi kesilapan itu pada masa depan walaupun tujuan mereka ke Malaysia untuk mencari rezeki.

"Datang ke Malaysia tidak boleh secara haram, mesti datang dengan sah. Selepas dihantar balik, jika kamu mahu datang ke sini semula, pastikan mengikut undang-undang. Jika tidak ia menjadi sia-sia sahaja," katanya.

Kesemua tertuduh rakyat Filipina berasal daripada Zamboanga manakala dua lagi tertuduh daripada Kalimantan, Indonesia juga diarahkan diusir selepas tamat tempoh penjara.

Pendakwaan dikendalikan pegawai pendakwa daripada JPN Putrajaya, Mohd Fazdlhy Abdul Razak, Mohd Ashgar Mohd Hussain dan Mokhzan Ariff manakala semua tertuduh tidak diwakili peguam.

- BERNAMA

11 dibaca
Berita Harian X