Khamis, 16 Oktober 2014 | 6:38pm

Maybank perluas ejen perbankan ke Tasik Chini

KUALA LUMPUR: Maybank memperluaskan perkhidmatan ejen perbankannya kepada POS Malaysia cawangan Tasik Chini, Pahang.

Perkhidmatan ejen perbankan membolehkan pelanggan melaksanakan aktiviti perbankan di pejabat pos bagi urusan seperti deposit tunai, pembayaran tunai, pengeluaran tunai selain bayaran bulanan bagi pinjaman atau pembiayaan, sewa-beli serta kad kredit.

Naib Presiden Eksekutif Kanan, Datuk Mohd Hanif Suadi, berkata POS Malaysia cawangan Tasik Chini yang menjadi ejen perbankan ke-347, mula menawarkan perkhidmatan itu sejak Februari lalu dan mencatat purata 500 urus niaga sebulan.

Katanya, ejen Maybank di Tasik Chini dijangka mampu mencatat 5,500 transaksi hingga akhir tahun ini.

"Perkhidmatan yang disediakan ini mendapat sambutan yang baik daripada masyarakat setempat dan setiap bulan kami menyaksikan peningkatan urus niaga terutama deposit," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Pelancaran perbankan ejen Maybank di POS Malaysia cawangan Tasik Chini baru-baru ini dirasmikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tasik Chini, Datuk Abu Bakar Harun. Yang turut hadir, Pengarah Jabatan Kewangan Pembangunan dan Enterpris, Bank Negara Malaysia (BNM), Marina Kahar dan Ketua Pegawai Operasi POS Niaga, Bahaman Kamaruzzaman.

Mohd Hanif berkata, Maybank dan POS Malaysia sentiasa berusaha menambah baik perkhidmatan yang disediakan, selain berhubung dengan BNM untuk mendapat maklum balas yang diperlukan.

Sementara itu, Bahaman berkata, dengan jaringan strategik sejumlah 705 pejabat pos di seluruh negara buat masa kini, POS Malaysia menyediakan pelanggan akses mudah kepada pelbagai produk dan perkhidmatan di kaunter.

Perbankan ejen Maybank-POS Malaysia mula diperkenalkan pada tahun 2010 di pejabat Pos Benut, Pontian, Johor. Ia adalah sebahagian inisiatif Maybank untuk menyediakan perkhidmatan perbankan di luar bandar yang tidak mempunyai mana-mana cawangan bank.

Sejak pelancaran berkenaan, perkhidmatan itu dikembangkan ke beberapa negeri dan memberikan perkhidmatan kepada lebih 150,000 pelanggan di seluruh negara.

12 dibaca
Berita Harian X