Ahad, 31 Januari 2016 | 4:24pm

Pelajar perempuan tingkatan dua maut dirempuh MPV

JERTEH: Seorang pelajar tingkatan dua maut dirempuh sebuah kenderaan semasa dalam perjalanan ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Renek, awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Khaled Che Lah, berkata kemalangan itu membabitkan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) dengan pejalan kaki di Jalan Tembila berhampiran SMK Renek, kira-kira jam 7.20 pagi.

Katanya, mangsa, Nurul Syahindah Mohd Paizu, 14, berasal dari Kampung Gong Penaga, maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah dialaminya.

"Kemalangan berlaku apabila pemandu berusia 43 tahun yang datang dari arah Jalan Tembila menghala ke Renek gagal mengawal kenderaannya sebelum dipercayai melanggar mangsa.

"Difahamkan, ketika kejadian mangsa hendak melintas jalan untuk ke sekolah berkenaan selepas meletakkan basikalnya di masjid berhampiran," katanya ketika dihubungi BH, sebentar tadi.

Khaled berkata, mayat mangsa dibawa ke Hospital Besut dan hasil bedah siasat mendapati punca kematian remaja itu disebabkan kecederaan tulang tengkuk.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Berita Harian X