Ahad, 31 Januari 2016 | 8:46am

7 terkorban bot karam di Nigeria

LAGOS: Tujuh terkorban apabila sebuah bot penumpang karam selepas terlanggar objek di bandar pelabuhan Lagos semalam, kata jurucakap jabatan kecemasan (NEMA).

Ibrahim Farinloye berkata, bot membawa 17 penumpang dari Ijede, kawasan Ikorodu menuju Badore tiba-tiba melanggar satu objek sebelum karam pada kira-kira jam 10.20 pagi waktu tempatan.

"Tujuh orang disahkan mati. Kami temui empat mayat di tempat kejadian dan tiga lagi mati di hospital," katanya.

Nahas bot adalah perkara biasa di Lagos kerana banyak komuniti dan penduduk di pulau itu dan bahagian lain kerap bergerak untuk ke tempat kerja dan pasar setiap hari menggunakan bot, dalam kes tertentu bagi mengelak kesesakan jalan raya yang teruk.

Kejadian pada Julai tahun lalu, enam kanak-kanak lemas apabila bot yang mereka naiki karam selepas berlanggar dengan sebuah bot lain di lagun pelabuhan yang sama. - AFP

Berita Harian X