Ahad, 31 Januari 2016 | 6:41am

iCGPA lahir graduan mesra majikan

UNIVERSITI adalah aset utama masa depan negara. Bakal menjadi pemangkin jati diri bangsa ke arah membentuk generasi yang hebat serta berilmu.

Sebagai sebuah kementerian yang bertanggungjawab terhadap hala tuju dan masa depan graduan, Kementerian Pengajian Tinggi sangat komited dalam melahirkan graduan lengkap dengan pencapaian akademik yang membanggakan serta didasari kemahiran insaniah yang tinggi.

Hal ini kerana, dunia pendidikan moden hari ini bukan saja melihat kepada pencapaian akademik semata-mata, tetapi dengan merangkumi aspek modal insan dan kreativiti. Namun mutakhir ini, kita sentiasa mendengar komen dari majikan yang mahukan graduan yang holistik, mempunyai ciri keusahawanan dan seimbang. Graduan yang kurang mempunyai nilai modal insan dan kemahiran sosial serta kurang penguasaan pelbagai bahasa juga dikatakan punca menjejaskan kebolehpasaran graduan mendapatkan pekerjaan.

Justeru, Kementerian Pengajian Tinggi melonjakkan nilai tambah bakal graduan dengan memperkenalkan pelaksanaan sistem penilaian pelajar baharu Purata Nilai Gred Keseluruhan Berintegrasi (iCGPA). Sistem iCGPA direka untuk mengatasi masalah ketidaksepadanan antara kualiti graduan dan kehendak majikan memandangkan sistem sedia ada hanya mengukur kemampuan akademik pelajar semata-mata.

Mungkin agak pelik melalui sistem ini sekarang, pelajar cemerlang dalam akademik yang memperoleh semua A tidak semestinya akan mendapat CPGA 4.0. Melalui kaedah baharu ini, pelajar perlu cemerlang secara keseluruhan sebelum menentukan CGPA. Ini termasuklah pembabitan pelajar dalam kokurikulum, aktiviti kemasyarakatan dan kesukarelawan, serta kemahiran dan kepemimpinan.

Penilaian sembilan aspek

Penilaian menyeluruh meliputi sembilan aspek iaitu kefahaman akademik; kemahiran akademik; pemikiran kritikal dan saintifik; kemahiran berkomunikasi; kemahiran sosial, berkumpulan dan kemanusiaan. Selain etika, moral dan profesionalisme; pengurusan maklumat dan pembelajaran sepanjang hayat; pengurusan dan keusahawanan; serta kepemimpinan.

Melalui pelan baharu menampilkan transformasi merangkumi 10 lonjakan iaitu graduan keusahawanan, holistik dan seimbang; kecemerlangan bakat pendidikan tinggi; masyarakat yang belajar sepanjang hayat; dan kualiti graduan TVET (Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional).

Enam lonjakan lain ialah kelestarian kewangan; pemerkasaan tadbir urus; pemerkasaan ekosistem inovasi; sistem tersohor peringkat global; pembelajaran dalam talian secara global; dan penyampaian pendidikan tinggi yang ditransformasikan.

Dalam melaksanakan pengukuhan jati diri dan pembangunan pelajar, institusi pengajian tinggi mestilah menyempurnakan gagasan dasar bagi melahirkan profesional berinovatif, berdaya saing serta berpersonaliti unggul untuk memenuhi keperluan globalisasi pendidikan dunia masa kini.

Imbangi keperluan, aspirasi negara

Usaha ini amat perlu bagi mengimbangi keperluan dan aspirasi negara untuk menghasilkan graduan cemerlang juga mempunyai roh dan nilai kenegaraan yang tinggi. Bagi melahirkan profesional sedemikian, universiti haruslah meneruskan inisiatif proaktif melaksanakan pelbagai aktiviti yang menjurus kepada pembangunan pelajar yang mengutamakan perpaduan dan pembinaan bangsa.

Setiap elemen yang dititikberatkan dalam merealisasikan kesempurnaan pembangunan pelajar, menuntut ribuan kerahan tenaga dari seluruh sistem universiti. Dengan semangat pemangkin jati diri bangsa yang tinggi, akan menjadi penggerak kepada transformasi nilai ukuran dan tahap pendidikan mahasiswa. Inisiatif ini juga mampu menjadi nilai tambah bukan sahaja kepada kemampuan diri bahkan juga di mata majikan, dalam dunia pekerjaan nanti.

Pembabitan pelajar menelusuri arus pemodenan pendidikan mampu meredah benua, memastikan produk universiti sentiasa hebat dalam menstranformasi graduan di kancah dunia luar. Selain jati diri bangsa dibela, ia juga dilihat sebagai salah satu lagi usaha untuk melonjak nama dan kredibiliti universiti negara ini di peta dunia.

Tujuannya adalah untuk memberi pendedahan kepada mereka dalam hal yang berkaitan dengan pengurusan, pentadbiran, kepemimpinan organisasi, sekali gus dapat meningkatkan kredibiliti pemimpin pelajar sebagai contoh pemimpin mahasiswa.

Hakikatnya, transformasi dunia pendidikan kini sudah berubah kepada fasa yang lebih kompleks. Cabang ilmu tidak lagi terhad kepada satu-satu bidang, dan seharusnya minda pelajar juga perlu berkembang maju dan tidak jumud hanya pada satu aspek semata-mata. Setiap aktiviti dan strategi yang diatur haruslah merungkai segala percaturan persaingan yang kian meruncing, yang sentiasa menagih komitmen dan disiplin tinggi.

22 dibaca
Berita Harian X