Sabtu, 30 Januari 2016 | 8:29pm

Perak rancang bina lebih banyak SMTDR


ZAMBRY melawat bangunan Sekolah Menengah Tahfiz Darul Ridzuan Daerah Manjung, Pulau Pangkor. - Foto Muhaizan Yahya

PANGKOR: Kerajaan negeri merancang untuk membina lebih banyak Sekolah Menengah Tahfiz Darul Ridzuan (SMTDR), yang bertaraf asrama penuh dalam usaha melahirkan pelajar yang seimbang di negeri ini.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, berkata pembinaan sekolah berkenaan yang taraf dan kualitinya sama dengan sistem pembelajaran sekolah berasrama penuh akan diselia sepenuhnya oleh kerajaan negeri.

"Kerajaan negeri akan membina sekolah berkenaan di setiap daerah dalam masa dua atau tiga tahun.

"Untuk Sekolah Menengah Tahfiz Darul Ridzuan Pangkor, ia diharap dapat memberikan keselesaan kepada pelajar dengan lokasinya yang menarik berhadapan dengan laut, selain pembinaan sebuah masjid terapung yang menjadi sebahagian pembangunan bersepadu di kawasan berkenaan," katanya selepas melawat kawasan SMTDR Pangkor, di sini, hari ini.

Katanya, pembangunan sekolah berkenaan sudah hampir siap dan berada pada fasa terakhir, membabitkan pengurusan dan pentadbiran sekolah serta mampu menampung 150 pelajar.

Berita Harian X