Sabtu, 30 Januari 2016 | 4:37pm

Bauksit: Alam Flora utamakan kesihatan penduduk


KAKITANGAN Alam Flora melakukan kerja-kerja pembersihan sisa-sisa bauksit di kawasan perumahan Beserah Permai. - Foto Zulkepli Osman

KUANTAN: Alam Flora Sdn Bhd (Alam Flora) menumpukan kepada kerja pembersihan di lokasi terjejas aktiviti perlombongan bauksit di sini berbanding kos perlu dibayar.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohd Zain Hassan, berkata ketika ini kerja pembersihan giat dijalankan dengan kerjasama Jabatan Bomba dan Penyelamat selaras arahan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada 13 Januari lalu yang mengambil maklum keluhan penduduk tempatan yang terjejas akibat kegiatan perlombongan bauksit.

"Sebaik menerima arahan, kerja pembersihan segera dilakukan kerana ia berkaitan kesihatan orang awam yang harus menjadi keutamaan dan Alam Flora menghantar satu pasukan khas membabitkan 30 kakitangan serta 17 jentera.

"Memang kerja-kerja pembersihan sisa bauksit ini membabitkan kos lebih (perlu ditanggung Alam Flora). Kita akan berbincang mengenainya dengan pihak berkaitan selepas ini," katanya ketika ditemui selepas Sukaneka Rakyat Alam Flora bersama Kelab Media Pahang di Air Terjun Sungai Pandan di sini, hari ini.

Mohd Zain berkata, sehingga kini sebanyak 60 peratus kerja-kerja pembersihan selesai dilaksanakan membabitkan 39 lokasi dan 17 taman perumahan.

"Taman Beserah Permai dan Pusat Khidmat Gebeng Jaya adalah lokasi paling teruk terjejas dan kekotoran di lokasi itu selesai dibersihkan," katanya.

Berita Harian X