Sabtu, 30 Januari 2016 | 8:22am

Lelaki menyamar pegawai Imigresen ditahan

PETALING JAYA: Seorang lelaki ditahan selepas menyamar sebagai pegawai Imigresen di Apartmen Seri Ara, Ara Damansara di sini, malam tadi.

Suspek berusia 20 tahun itu dikatakan menyamar sebagai pegawai Imigresen bersama seorang rakannya dengan melakukan pemeriksaan ke atas warga asing di apartmen berkenaan sekitar jam 8.30 malam.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohd Zani Che Din, berkata suspek dikatakan memperkenalkan diri sebagai pegawai imigresen sebelum 'menahan' tujuh lelaki warga Bangladesh di apartmen berkenaan.

"Suspek meminta pasport mangsa dan berpura-pura menyemak butiran menggunakan komputer riba.

"Lelaki itu kemudian memberi alasan komputer yang digunakan kehabisan bateri dan mendakwa ada kesalahan dikesan di pasport berkenaan sebelum mengambil wang RM1,700 dan tujuh telefon bimbit milik mangsa," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mohd Zani berkata, mangsa yang curiga dengan keadaan itu terus menahan suspek manakala rakannya sempat melarikan diri.

"Suspek diserahkan kepada anggota polis sebelum dibawa ke Balai Polis Kelana Jaya untuk tindakan susulan," katanya.

Berita Harian X