Jumaat, 29 Januari 2016 | 12:41am

Diskaun tol 20 peratus di Jambatan Kedua pada 8 Februari

Jambatan Sultan Abdul Halim Muadzam Shah, Georgetown.

GEORGETOWN: Pengguna Jambatan Sultan Abdul Halim Muadzam Shah (JSAHMS) di sini, akan menikmati diskaun tol sebanyak 20 peratus bermula 12 tengah malam hingga 11.59 malam pada 8 Februari sempena Tahun Baharu Cina.

Pengarah Urusan Jambatan Kedua Sdn Bhd (JKSB), Datuk Dr Ismail Mohamed Taib, berkata kadar diskaun berkenaan adalah membabitkan semua kelas kenderaan.

"Pada tahun lalu, sebanyak 100,000 kenderaan menggunakan JSAHMS dan kita menjangkakan jumlah trafik akan meningkat pada tahun ini.

"Pemberian diskaun tol oleh JKSB ini adalah inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang diharap dapat membantu pengguna lebuh raya, selain berkongsi kegembiraan menyambut perayaan," katanya dalam satu kenyataan.

Sementara itu, Ismail berkata, JKSB juga bakal melaksanakan sistem kutipan tol secara elektronik (ETC) sepenuhnya, bermula Jun ini.

Katanya, ketika ini JKSB sudah melakukan hebahan menerusi media sosial, termasuk menggantung kain rentang di plaza tol JSAHMS.

"JKSB yakin pelaksanaan sitem ETC ini akan memberi kemudahan kepada pengguna kerana ia dapat menjimatkan masa, melancarkan laluan trafik dan memberi keselesaan," katanya.

September tahun lalu, PLUS Malaysia Bhd (PLUS) melaksanakan sistem ETC sepenuhnya di empat plaza tol di bahagian utara, termasuk di Plaza Tol Jambatan Pulau Pinang.

Berita Harian X