Khamis, 28 Januari 2016 | 10:37pm

Anis Amira raih gangsa di Jepun


Anis Amira Rosdi meraih pingat gangsa dalam acara kejar mengejar individu remaja wanita pada Kejohanan Berbasikal Asia (ACC) 2016 di Velodrom Izu, Jepun hari ini.

KUALA LUMPUR: Skuad berbasikal negara di Kejohanan Berbasikal Asia (ACC) 2016 meraih satu lagi pingat gangsa menerusi Anis Amira Rosdi dalam acara kejar mengejar individu remaja wanita di Velodrom Izu, Jepun hari ini.

Pelumba berusia 18 tahun itu mencatat masa 2 minit 34.701 saat untuk menewaskan Chaniporn Bartriya dari Thailand yang mencatat 2:35.502s dalam perlumbaan penentuan pingat gangsa itu.

Acara itu dimenangi Song Minji dari Korea Selatan yang menewaskan pelumba tuan rumah, Yumena Hosoya dalam perlumbaan pingat emas.

Terdahulu dalam saingan kelayakan, Anis Amira berjaya menamatkan saingan di tempat keempat untuk melayakkannya beraksi dalam penentuan pingat gangsa itu.

Semalam jaguh trek negara, Mohd Azizulhasni Awang turut menyumbang pingat gangsa dalam acara keirin elit lelaki.

Sementara itu, Fatehah Mustapa sekadar menamatkan saingan di tempat kelima acara pecut elit wanita, sekali gus gagal melangkah ke separuh akhir esok.

Esok, Mohd Azizulhasni dan Muhd Shah Firdaus Sahrom akan turun ke gelanggang bagi acara pecut elit lelaki; Ju Pha Som Net (Omnium elit wanita); Muhd Daniel Haikkal Edy Suhaidee (kejar mengejar individu remaja lelaki) dan Eiman Firdaus Mohd Zamri (kejar mengejar individu elit lelaki). - BERNAMA

97 dibaca
Berita Harian X