Khamis, 28 Januari 2016 | 6:22pm

Kajian bida tuan rumah Piala Dunia 2034 masih dijalankan


MENTERI Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar. - Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Kajian masih lagi dilakukan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bersama Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) sama ada akan membuat bidaan hak penganjuran Piala Dunia 2034.

Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar, berkata kajian kemungkinan sedang dilakukan oleh FAM dan AFF berkaitan usaha bidaan kejohanan bola sepak terulung di dunia itu.

"Apabila saya sudah mendapat laporan (kajian) itu, saya akan kemukakan kepada negara jiran dan mereka boleh buat keputusan," katanya dalam sidang akhbar selepas majlis Penyampaian Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM) Kontinjen Negara Ke Sukan Para ASEAN Singapura 2015, di sini, sebentar tadi.

Mesyuarat Menteri-Menteri Sukan Asean (AMMS) ketiga Ogos tahun lalu bercadang mengkaji secara menyeluruh berkenaan usaha untuk membida hak penganjuran Piala Dunia 2034.

Kajian itu akan dikendalikan AFF untuk mendapatkan keputusan sama ada kejohanan bola sepak terbesar dunia itu mampu dilaksanakan atau tidak di Asia Tenggara.

Khairy berkata, negara yang berminat menganjurkan Piala Dunia 2034 perlu membuat bidaan masing-masing pada 2019.

"Kita masih ada masa tiga tahun lagi," katanya.

Berita Harian X