Khamis, 28 Januari 2016 | 2:24pm

Skuad UniKL tekad elak kesilapan

KUALA LUMPUR: Gagal mengikut arahan dan mudah membazirkan peluang antara kelemahan yang berjaya dihidu oleh pengendali UniKL Young Guns, I Vikneswaran apabila anak buahnya tewas buat kali kedua dalam kempen Liga Hoki Remaja Kebangsaan (MJHL) 2016.

Berbeza dengan saingan 2015, naib juara musim lalu itu terpaksa akur kepada keunggulan Politeknik Malaysia apabila tewas tipis 1-0 minggu lalu biarpun sebelum itu bangkit dengan membenam Olak-PKT dan SDBL-UniKL selepas turut kecundang pada aksi pertama liga.

Untuk itu, Vikneswaran mengingatkan pemain supaya mengelak melakukan kesilapan mudah bagi memastikan kemenangan berpihak pasukan selain perlu memahami setiap arahan yang diberikan ketika aksi sebenar.

"Keputusan dua kekalahan dalam empat aksi ini tak pernah berlaku dalam sejarah pasukan. Tapi apa nak buat, dari segi persembahan kita ada banyak peluang melalui pukulan sudut penalti dan situasi terbuka namun semuanya tak masuk.

"Kalau ikutkan, kita peroleh lebih kurang 16 pukulan sudut penalti yang sama sekali gagal diterjemahkan kepada jaringan.

"Pasukan dah buat semua persiapan tapi apabila di dalam perlawanan pemain gagal praktikkan apa yang diajar ketika latihan.

"Apapun, ia memberi saya pengalaman baru dan sebagai jurulatih saya akan berusaha gigih untuk perbaiki segala kelemahan ini agar kami beraksi lebih konsisten selepas ini," katanya.

Begitupun jelasnya lagi, beliau sudah bersedia untuk menyekat impian tinggi pendahulu liga SSP-MSP Thunderbolts yang sudah pasti mahu mengekalkan rekod bersih empat kemenangan sebelum ini sambil mengakui langsung tidak gentar dengan status lawannya menjelang aksi di Stadium Nasional Bukit Jalil, esok.

"Terus-terang saya tak takut bertemu SSP-MSP atau mana-mana pasukan sebaliknya saya lebih bimbangkan pemain saya sendiri daripada pihak lawan.

"Jika kami menentang Politeknik ke, Olak ke atau SSTMI ke saya tak kisah namun yang menjadi perhatian adalah persediaan pasukan saya.

"Kalau pemain saya boleh bermain pada tahap dan prestasi sebenar mereka, saya yakin kami mampu menewaskan pencabar lain kerana itulah kunci kepada sebuah kejayaan," katanya.

Sementara itu, Olak-PKT Tigers meneruskan kebangkitan apabila menewaskan Politeknik Malaysia 3-2 di Stadium Tun Razak, di sini, semalam sekali gus membawa tonik terbaik menjelang pertemuan dengan SSTMI Jrs, Sabtu ini.

Jadual (Esok) -

UniKL mln SSP-MSP

Std Nasional Bkt Jalil, 5ptg

MBPJ mln SSTMI Thunderbolts

Std nasional Bkt Jalil, 5ptg

Nur Insafi mln SDBL-UniKL

Std Hoki Sungai Petani, 5ptg

Berita Harian X