Khamis, 28 Januari 2016 | 12:13pm

Van Gaal makin kusut bersama nasib United


PENGURUS Manchester United, Louis van Gaal. - Foto Reuters

MANCHESTER: Pengurus Manchester United, Louis van Gaal mempertaruhkan nasibnya sekali lagi menjelang perlawanan pusingan keempat Piala FA menentang kelab divisyen dua, Derby County, awal pagi esok.

Kekalahan 1-0 kepada Southampton di tempat sendiri menyebabkan muncul semula khabar angin yang mendakwa Van Gaal diberi tawaran untuk meletak jawatan dan biarpun dakwaan itu dinafikan kelab, kekalahan kepada Derby sekali lagi akan menyaksikan spekulasi itu bakal timbul.

United memerlukan masa tambahan bagi Wayne Rooney menjaringkan gol penalti untuk menewaskan kelab divisyen tiga, Sheffield United dalam pusingan ketiga dan kapten United itu sekali lagi diuji di Stadium iPro, di mana United menang 4-1 dalam pusingan kelima pada 2009.

"Kami tahu, seperti mana kami bermain sebelum ini, ia bakal menjadi perlawanan sukar dengan keadaan yang baik pada Jumaat malam (awal pagi esok)," kata Rooney kepada MUTV.

"Saya pasti mereka akan bersedia untuk itu dengan penyokong mereka dan kami akan bersedia juga kerana kami mempunyai pengalaman dalam perlawanan seperti ini. Pemain yang bersama kami tahun lalu dan bermain menentang Cambridge dan Yeovil akan melihat saingan Piala FA ini lebih kepada pertarungan berbanding permainan bola sepak.

"Kami perlu bersedia untuk itu dan bersedia bagi perlawanan sukar kerana saingan piala ini penuh dengan kejutan. Derby tidak akan kehilangan apa-apa. Tiada siapa yang menjangkakan mereka akan menang dan mereka akan cuba mencipta kejutan. Kami tahu itu dan kami bersedia untuk itu.

"Ia akan menjadi malam yang sukar bagi kami. Sheffield United di laman sendiri juga adalah satu perlawanan sukar, jadi kami perlu bersedia bertarung dan memenangi pertarungan ini. Saya harap kami mempamer kualiti yang sepatutnya sepanjang perlawanan."

Derby, diuruskan bekas penolong jurulatih Real Madrid, Paul Clements, bakal menyertai perlawanan itu selepas kekalahan 4-1 kepada Burnley pada Liga Bola Sepak, yang menyaksikan mereka di tempat kelima dalam divisyen kedua di England.

Tetapi Clements mahu membawa pasukannya itu yang kali terakhir menewaskan United pada Piala FA 1897.

"Apa yang menjadi cabaran, untuk bermain menentang salah satu kelab terbesar di bola sepak dunia," katanya. - AFP

Jadual Piala FA:

Sabtu

Derby County mln Manchester United - 3.55 pg

Colchester United mln Tottenham Hotspur - 8.45 mlm

Arsenal mln Burnley, Aston Villa mln Manchester City, Bolton Wanderers mln Leeds United, Bury mln Hull City, Crystal Palace mln Stoke City, Nottingham Forest mln Watford, Oxford United mln Blackburn Rovers, Portsmouth mln Bournemouth, Reading mln Walsall, Shrewsbury Town mln Sheffield Wednesday, West Bromwich Albion mln Peterborough United

Ahad

Liverpool mln West Ham United - 1.30 pg

Carlisle United mln Everton - 9.30 mlm

Milton Keynes Dons mln Chelsea - 12 tgh mlm

Berita Harian X