Khamis, 28 Januari 2016 | 11:39am

Wanita mengaku salah potong kemaluan suami

SEORANG wanita dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Pilah kerana memotong kemaluan suaminya, seorang warga Pakistan, menggunakan pisau cukur. - Foto Iqmal Haqim Rosman

KUALA PILAH: Seorang wanita mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini, kerana memotong kemaluan suaminya di Batu Kikir, dekat sini, 20 Januari lalu.

Fatimah Abdullah, 51, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Sazlina Safie selepas pertuduhan dibacakan dalam bahasa Tamil terhadapnya oleh jurubahasa mahkamah.

Tertuduh didakwa menyebabkan kecederaan parah terhadap warga Pakistan, Umar Rahman, 44, dengan menggunakan pisau yang berkemungkinan boleh menyebabkan kematian, pada jam 1.20 pagi, 20 Januari lalu di Jalan Beringin 3, Batu Kikir, dekat sini.

Dia didakwa mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun, denda dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Hakim menetapkan 22 Februari depan sebagai tarikh keputusan sementara menunggu laporan perubatan lengkap mangsa dan tertuduh dibenarkan diikat jamin RM5,000.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Nabilah Mohammad Zanudin, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Berita Harian X