Khamis, 28 Januari 2016 | 11:08am

Denggi: Seorang maut, seorang kritikal

KUALA TERENGGANU: Seorang lelaki berusia 37 tahun dari Selangor maut, manakala seorang murid Tahun Enam kritikal akibat denggi di negeri ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman, berkata lelaki berkenaan disahkan meninggal dunia pagi ini di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), manakala murid Sekolah Kebangsaan Seri Budiman, di sini, dirawat di Unit Rawatan Rapi hospital sama.

Beliau bagaimanapun berkata, secara keseluruhan, jumlah kes denggi di negeri ini berkurangan kepada antara 30 dan 40 kes sehari, berbanding 60 hingga 62 kes sehari sebelum ini.

"Walaupun terdapat penurunan dalam jumlah kes setiap hari, bagi kita ia masih tinggi dan serius kerana sehingga kini sebanyak 560 kes demam denggi sudah direkodkan sepanjang bulan ini, berbanding hanya 142 kes dalam tempoh sama tahun lalu.

"Ini menunjukkan peningkatan sehingga 293 peratus dan ini sangat serius," katanya selepas melancarkan gotong-royong membanteras Aedes di pekarangan Masjid Sultan Muhammad, Bukit Besar, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri, Datuk Muhammad Pehimi Yusof; Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan dan Sumber Manusia negeri, Datuk Rozi Mamat dan Ketua Polis negeri, Datuk Rosli Abd Rahman.

Sementara itu Ahmad Razif berkata, kerajaan negeri sudah mengarahkan pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk mengeluarkan saman kepada semua pemilik tanah kosong dan persendirian yang terbiar yang menjadi sarang pembiakan Aedes.

Beliau berkata, mana-mana tanah kosong yang ditinggalkan terbiar oleh tuan tanah dan tidak dibersihkan akan disaman, berkuat kuasa serta-merta.

"Ini kerana kita mengenal pasti antara penyumbang utama kepada peningkatan wabak ini adalah tanah persendirian terbiar yang menjadi tempat pembuangan sampah, menyebabkan ia menjadi sarang pembiakan Aedes.

"Kita mahu tuan tanah ini bertanggungjawab kerana tanah milik mereka tidak boleh dipertanggungjawabkan kepada orang lain untuk dibersihkan," katanya.

Berita Harian X