Khamis, 28 Januari 2016 | 10:44am

Satu lagi mayat PATI ditemui


OPERASI mencari dan menyelamat sedang dijalankan bagi mengesan baki mangsa lemas warganegara Indonesia di pesisir pantai Tanjung Kelisa, Bandar Penawar. - Foto Omar Ahmad

KOTA TINGGI: Satu lagi mayat pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia ditemui di Pantai Sungai Tengah, dekat sini, pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Rahmat Othman, berkata mayat lelaki terbabit ditemui pada jam 8.50 pagi tadi.

"Mayat berkenaan ditemui oleh orang awam kira-kira enam kilometer dari tempat kejadian menghala pantai Tanjung Balau," katanya ketika dihubungi, sebentar tadi.

Beliau berkata, sehingga hari ini, sebanyak 23 mayat PATI ditemui, termasuk sembilan yang ditemui semalam.

Katanya, operasi mencari dan menyelamat (SAR) masih diteruskan dengan kekuatan dua pegawai dan 18 anggota dari Pasukan Polis Marin serta lima anggota dari Balai Polis Bandar Penawar.  

Kumpulan PATI itu dipercayai memasuki perairan Pantai Sungai Tengah, di sini kira-kira jam 4 pagi kelmarin, sebelum bot dinaiki mereka karam akibat ombak kuat menyebabkan mangsa tercampak ke laut dan lemas.

Berita Harian X